Apabila dilamun cinta, usia, rupa dan latar belakang bukan lagi penghalangnya. Oleh sebab itu, wujudnya pepatah “Cinta itu buta”. Walaupun ramai yang ingin bertemu jodoh dengan pasangan yang sebaya, tetapi itu bukanlah hak kita untuk menentukannya. 

Semua telah ditentukan oleh Allah SAW. Kalau anda telah ditakdirkan bertemu jodoh dengan duda, tidak boleh nak ditolak betul tak? Tetapi, apa cabaran yang anda perlu hadap apabila memilih duda sebagai suami?

  1. PERSEDIAAN MENTAL DAN FIZIKAL

Selalunya kita perlu bersedia untuk berjumpa dengan keluarga pasangan tetapi anda perlu fikir diri anda terlebih dahulu. Apabila duda mempunyai anak, mungkin kesukaran dialami adalah untuk mengambil hati anak-anaknya. Mereka mungkin memerlukan masa untuk menerima anda sebagai sebahagian daripada ahli keluarga mereka. Jika anda telah bersedia untuk mengharungi dugaan bersama, maka anda boleh teruskan niat untuk memilih duda sebagai calon hidup anda.

  1. ANAK-ANAK

Apabila berkenalan dengan duda yang ada anak pasti ini menjadi satu cabaran yang besar untuk anda meneruskan hubungan. Anak-anak seolah-seolah menjadi penentu kepada hubungan tersebut. Anda memerlukan penerimaan baik daripada mereka untuk masuk ke dalam keluarga tersebut sebagai ibu mereka. Jika anda berjaya untuk mengambil hati anak-anaknya, maka anda juga berpotensi untuk menjadi suri dalam hidup si dia. 

  1. CURIGA DENGAN BEKAS ISTERI

Lelaki yang bercerai hidup dengan bekas isteri selalunya tidak lagi mempunyai ikatan emosi yang terlalu mendalam dengan wanita tersebut. Tetapi anda akan cenderung untuk curiga tentang hubungan suami dengan bekas isterinya. Masalah dalam perkahwinan dengan duda yang bercerai hidup ini juga akan menjadi lebih berat jika bekas isterinya kerap membayangi hubungan anda. 

  1. PANDANGAN ORANG SEKELILING TERHADAP ANDA

Pandangan orang sekeliling akan membuatkan anda tidak selesa kerana mereka tidak akan pernah berhenti bercerita tentang hidup anda. Terutamanya jika anda berkahwin dengan duda yang bercerai hidup berbanding duda cerai mati. Pelbagai anggapan yang mungkin akan timbul seperti hanya mahukan harta, tidak ikhlas, bukan kerana cinta dan sebagainya. Abaikan sahaja mereka, tidak mendatang manfaat buat hidup anda!

  1. HANYA SUAMI PERLU JALANKAN TANGGUNGJAWAB

Anda perlu faham jika anda berkahwin dengan duda yang mempunyai anak hasil perkahwinan lepas, suami masih wajib untuk tanggung nafkah anak-anaknya. Biarkan dia jalankan tanggungjawab kerana ini akan disoal di akhirat kelak. 

Sebelum membuat sesuatu keputusan, pastikan anda telah meminta pendapat orang lain dan fikirkan tentang apa yang jadi pada masa depan. Sama ada baik ataupun tidak. 

Penulis: Izzah