Jatuh hati dengan ibu tunggal bukanlah sesuatu yang asing lagi buat zaman sekarang. Tidak kira duda atau lelaki bujang, pilihan ibu tunggal untuk dijadikan bakal isteri dan peneman sehidup semati sangat relevan pada masa sekarang. Ibu tunggal tetap menawan dan ada ciri-ciri yang istimewa pada mata mereka yang telah jatuh hati kepadanya.

Bagi anda lelaki bujang atau pun yang telah berstatus kembali single, apa salahnya untuk anda cuba menawan hati ibu tunggal. Tetapi, anda haruslah mempertimbangkan 5 perkara ini sebelum membuat keputusan untuk meneruskan perhubungan dengan si dia yang bergelar ibu tunggal.
5 perkara yang harus anda tahu daripada si dia antaranya adalah:
1. Adakah perpisahan si dia tersebut perpisahan disebabkan kematian atau perceraian.
Hal ini sebagai persediaan kepada anda sebagai bakal suami kepada si dia. Selain itu, anda juga boleh bersedia sekiranya perlu berhadapan dengan isu-isu berkenaan bekas suaminya sekiranya si dia berpisah secara perceraian.
2. Adakah si dia sudah betul-betul move on atau sebaliknya?
Soal hati ini tidak seharusnya tuan empunya badan menipu. Dalam membina perhubungan, kejujuran kepada pasangan sangat penting. Sekiranya si dia masih menyimpan perasaan untuk kembali kepada bekas suami, sebaiknya anda perlu pertimbangkan kembali sama ada untuk meneruskan perhubungan tersebut atau pun tidak.
3. Adakah hak penjagaan anak-anak di bawah tanggung jawab si dia?
Apabila anda telah bersetuju untuk menerima si dia, anda juga seharusnya bersetuju untuk menerima kehadiran anak-anak hasil perkongsian hidupnya bersama bekas suami. Secara tidak langsung, tanggung jawab dalam membesarkan anak itu adalah tanggung jawab bersama anda dan si dia apabila telah bersetuju untuk meneruskan niat berkahwin.
4. Adakah keluarga pasangan menerima kehadiran anda sebagai menantu baharu?
Perkahwinan bukan hanya melibatkan anda dan si dia, ia turut melibatkan seluruh ahli keluarga termasuk emak dan ayahnya. Restu keluarga sangat penting sebelum meneruskan niat untuk berumah tangga. Terimalah keluarga si dia secara lapang dada dan terbuka, insyaAllah perjalanan anda dan si dia akan dipermudahkan-Nya.
5. Adakah keluarga sendiri menerima status si dia?
Bukan hanya penerimaan keluarganya terhadap anda sahaja penting, tetapi paling penting di sini adalah penerimaan keluarga anda terhadap status si dia sebagai ibu tunggal. Apakah pandangan keluarga anda terhadap pemilihan pasangan yang ada inginkan ini? Tanyalah pendapat mereka sebagai individu yang lebih berpengalaman untuk dijadikan panduan hidup kita. InsyaAllah berkat dan restu daripada ibu bapa sangat besar nilainya.
Semoga anda dan calon pilihan hati dipermudahkan segala urusan sehingga ke jenjang pelamin. Selamat bercinta sampai syurga ya !
Penulis : Afifah
