‘Bagai retak menanti belah’ itulah ungkapan yang sesuai menunjukkan situasi pasangan yang mungkin dalam perhubungan yang mungkin tidak akan bertahan lama. Banyak perkara yang perlu diambil perhatian supaya perhubungan yang dibina tidak terputus di tengah jalan.

Harapan untuk membina rumah tangga pastinya ingin kekal lama dan sehingga ke syurga. Hati-hati ya jika perhubungan anda dalam situasi begini, mulakan ambil tindakan untuk memperbetulkan keadaan supaya perkara yang tidak diingini tidak berlaku.
1. Kerap bergaduh.
Apabila terlalu kerap sangat bergaduh antara pasangan, boleh jadi keharmonian rumah tangga itu akan semakin pudar dan hilang. Jika anda dan pasangan kerap bergaduh, mungkin sudah tiba masanya untuk bersama-sama duduk berbincang dalam mencari punca pergaduhan tercetus. Boleh jadi pergaduhan itu berpunca daripada perkara yang kecil, tetapi kian membesar jika tidak diselesaikan dengan segera.
2. Ego tinggi dan tidak mahu memaafkan.
Lelaki mahupun wanita, kedua-duanya ada ego yang tersendiri. Apabila ego mendominasi diri, segala kesalahan diletakkan diatas bahu pasangan. Ungkapan maaf seolah-olah mahal harganya untuk diucapkan terlebih dahulu. Apa salahnya, jika anda yang merendahkan ego dan menghulurkan kemaafan demi rumah tangga yang dibina.

3. Tidak menjadi pendengar yang baik.
Apabila pasangan mula meluahkan dan membuka cerita, tidak lain dan tidak bukan mengharapkan pasangannya mendengar. Respon hanya perlu selepas pasangan telah habis melepaskan rasa yang terpendam. Apabila pasangan suka memotong percakapan pasangannya, seolah-olah membuatkan pasangannya tidak didengari dan difahami.
4. Suami tidak bekerja.
Ada beberapa situasi yang mungkin berlaku di sekeliling kita yang mana suami tidak bekerja dan mengharapkan segala komitmen atas bahu isteri. Suami tidak membantu memudahkan urusan isteri menyebabkan isteri rasa terbeban dan membuat keputusan untuk memilih hidup sendiri.
5. Perhubungan Jarak Jauh (PJJ).
Tidak dinafikan PJJ antara punca keretakan yang mungkin berlaku dalam rumah tangga. Pasangan tidak memberi masa untuk melakukan aktiviti rutin dan berkongsi cerita secara bersama. Bukan itu sahaja, banyak juga yang melibatkan isu kepercayaan antara pasangan sehingga menimbulkan syak wasangka. Kehadiran orang ketiga dalam rumah tangga lebih mengeruhkan keadaan.
Oleh itu, apa jua keadaan yang anda dan pasangan hadapi sekarang, cari kunci kebahagiaan berumah tangga yang telah dibina. Pastinya rasa cinta dan sayang masih terselit buat pasangan. Doa kepada-Nya agar Allah menjaga hati kita dan hati pasangan untuk tetap terus bercinta sampai syurga. Aamiin.
Penulis : Afifah
