Ini masalah yang kerap muncul bila tiba hari raya tak kira Raya Aidilfitri atau Raya Aidiladha. Selepas berkahwin anda dan pasangan sudah terikat dengan kedua – dua belah keluarga. Ini bermakna hati kedua – dua belah pihak harus dijaga supaya tiada yang terasa hati.

Dalam menentukan kampung siapa yang perlu balik dulu, anda perlu lihat dari segi keperluan atau situasi atau ikut kaedah giliran. Contoh keperluan ialah jika pasangan anda merupakan anak tunggal dalam keluarga. Tiada adik-beradik lain yang akan balik untuk membantu atau beraya bersama-sama. Perlulah balik ke kampung pasangan terlebih dahulu. Takkan sanggup biarkan orang tua beraya tanpa siapa di sisi.
Untuk situasi, jika adik-beradik pasangan anda pulang beraya ke rumah orang tua mereka, anda boleh pilih untuk pulang beraya di rumah orang tua anda dahulu. Ini disebabkan ada orang lain yang boleh membantu dan beraya bersama. Orang tua tidak akan rasa kesunyian.
Kaedah ikut giliran. Kaedah ini paling berkesan tanpa pergaduhan kemudian hari. Dari mula berkahwin sudah tetapkan giliran. Contoh tahun pertama akan beraya di rumah keluarga suami, jadi tahun kedua akan beraya di rumah keluarga isteri pula. Disebabkan setahun ada 2 perayaan, anda juga boleh bergilir – gilir ikut perayaan. Tahun pertama Raya Aidilfitri di rumah suami dan Raya Aidiladha pula di rumah isteri. Setahun sama – sama merasa untuk beraya hari pertama di rumah keluarga masing – masing.
Apapun dalam perkahwinan ini perlu bertolak ansur, bersikap adil dan komunikasi. Ya, masing – masing jika boleh nak beraya di rumah keluarga masing – masing dahulu tetapi jangan lupa anda telah berkahwin dan ada hati dan perasaan lain yang perlu dijaga. Ingat anda bukan hidup bersendirian. Keputusan yang perlu diambil adalah elakkan pergaduhan untuk buat keputusan.
Penulis : Ima
