Ramai yang keliru antara mas kahwin dan hantaran. Mas kahwin ataupun mahar adalah pemberian yang wajib diberikan oleh lelaki kepada wanita yang bakal menjadi isterinya.
Manakala hantaran merupakan hadiah atau pemberian tunai yang dipersetujui semasa majlis tunang. Kebiasaannya hantaran digunakan untuk menampung segala kos perkahwinan.

Kebanyakan orang sekarang akan membeza – bezakan wang hantaran mengikut taraf pendidikan. Sebagai contoh hantaran SPM RM4000.00 – RM8000.00, Diploma RM8000.00 – RM12000.00 dan Ijazah RM12000.00 – RM15000.00. Ini telah menjadi trend dalam menentukan wang hantaran.
Dalam islam sendiri tidak mengajar umatnya membeza – bezakan golongan berpendidikan atau tidak berpendidikan. Atau membezakan darjat seseorang berdasarkan pangkat dan rupa.
Jumlah wang hantaran perlulah tidak terlalu mahal sehingga membebankan pihak lelaki. Perkahwinan itu perkara yang baik untuk dilakukan, sebaiknya kita perlu permudahkan urusan tersebut. Untuk mengelak pasangan tersebut buat perkara yang tidak baik atau niat untuk berkahwin itu terpaksa ditangguh kerana belum mampu dengan hantaran yang tinggi.
Firman Allah swt:
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda yang baik–baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas (Surah al-Maidah: ayat 87).
Yang paling penting ialah mas kahwin kerana ianya adalah wajib. Manakala pemberian wang hantaran adalah tidak wajib. Letakkan harga mengikut kemampuan lelaki yang ingin berkahwin, bukan mengikut pada kata orang lain.
Penulis : Ima
