Asam garam kehidupan berumah tangga kadangkala bahagia, kadang kala ada perselisihan pendapat yang membuatkan pasangan bermasam muka. Bak lirik lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, “Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri…” menggambarkan setiap perhubungan pasti ada pasang surutnya.
Namun, terdapat rahsia untuk memastikan rumah tangga kekal dan bertahan lama. Antara rahsianya adalah:

1. Menurunkan ego.
Tidak kira sama ada lelaki mahupun perempuan, pastinya masing-masing ada ego tersendiri. Oleh itu, belajar cara untuk merendahkan ego dengan saling memaafkan dan meminta maaf terlebih dahulu jika melakukan kesalahan. Sebaiknya maafkan pasangan setiap malam sebelum tidur supaya rumah tangga kekal bahagia. Percayalah dengan memaafkan dapat menyemarakkan lagi rasa cinta antara pasangan.
2. Solat jemaah bersama-sama.
Suami isteri perlu mengamalkan solat jemaah bersama sebaik-baiknya waktu solat fardhu. Hal ini dapat menimbulkan rasa hormat isteri kepada suaminya dan rasa kasih suami terhadap isterinya. Perubahan untuk mengajak pasangan solat jemaah bersama-sama dapat menarik secara tidak langsung persekitaran dan rumah tangga yang lebih baik dan bahagia.
3. Memenuhi tanggung jawab masing-masing.
Rumah tangga seharusnya dilakukan secara bersama-sama. Kalau salah seorang sahaja yang menjalankan amanah, pastinya akan terasa hati dan terasa lelahnya hidup berumah tangga. Laksanakan sebaik mungkin tanggungjawab sebagai suami dan isteri pastinya suami dan isteri merasai nikmat dan manisnya kehidupan berumah tangga.
4. Saling memerlukan antara satu sama lain.
Bukan mengharapkan kebergantungan 100% kepada pasangan tetapi lebih kepada rasa diperlukan oleh pasangan. Ya, pastinya tidak semua perkara perlu dilakukan secara sendiri. Adakalanya perlu untuk meminta bantuan dari pasangan supaya tidak merasa diri keseorangan. Selepas itu ucapkan terima kasih tanda penghargaan dengan menghargai setiap pertolongan yang diterima.
5. Pillow talk.
Pillow Talk merupakan sesi untuk suami dan isteri berbincang dan bersembang mengenai hal-hal yang lebih mendalam secara berdua dalam keadaan tenang. Kebiasaannya, Pillow Talk ini dilakukan sebelum tidur sekitar 30 minit lebih awal sebelum pasangan melelapkan mata dalam keadaan santai. Saat ini suami dan isteri lebih bersikap terbuka untuk bersembang dan berbincang. Dalam jangka masa panjang, kepercayaan terbina antara pasangan seterusnya membuatkan rumah tangga terus utuh.

6. Menerima pasangan seadanya.
Bersyukurlah dengan anugerah pasangan yang Allah berikan kepada kita. Bersyukur pastinya kita akan lebih bahagia. Jangan tunggu untuk mengecap rasa ‘bahagia’ baru hendak bersyukur. Apa sahaja kekurangan pasangan terima sehabis baik dengan menghitung segala kelebihan-kelebihan yang pasangan ada. Dalam menerima diri pasangan, ingatlah bahawasanya pasangan juga sedang belajar sehabis baik untuk menerima segala kekurangan kita.
7. Gaduh jangan lebih 3 hari.
Asam garam kehidupan dalam berumah tangga tidak semestinya nampak indah belaka. Ada perkara yang mungkin pasangan tidak bersetuju dalam masa-masa tertentu. Oleh itu, jika berlaku pergaduhan antara pasangan pastikan anda dan pasangan tidak akan bergaduh lebih dari 3 hari. Pergaduhan melebihi 3 hari pastinya akan menimbulkan konflik yang berpanjangan. Bertambah buruk lagi sekiranya menimbulkan rasa syak wasangka kepada pasangan.
Cukup 7 rahsia dahulu yang kami kongsikan.
Semoga ikatan perkahwinan yang dibina berkekalan sehingga ke Jannah. Semoga Allah merahmati dan memberkati rumah tangga yang dibina.
All the best!
Penulis : Afifah
