Setiap pasangan pasti ingin mengakhiri zaman percintaan mereka dengan ikatan perkahwinan yang sah. Jangan bimbang. Jika si dia memang jodoh anda, pasti akan dipermudahkan. 

Namun, dalam membina sebuah ikatan perkahwinan atau membina sebuah keluarga banyak perkara yang perlu anda perhalusi dan perbincangkan bersama. Terutamanya bagi seorang wanita. Sebelum berkahwin, anda digalakkan untuk bertanya 5 soalan penting ini. Jom baca sampai habis!

  1. Soalan Kerjaya (Gaji dan pendapatan bulanan)

Soalan yang sensitif begini perlu dibahas dengan cara yang sopan dan beradab. Mungkin anda boleh kongsikan dahulu berkaitan kerjaya anda serta pendapatan bulanan anda kemudian barulah bertanya kepada pasangan. Boleh tanya juga pada pasangan apa plan dia mengenai kerjaya yang sekarang. Sudah pasti kita tidak mahu pasangan yang setiap tahun lompat-lompat kerja, bukan? Pasti mahukan bakal suami yang boleh menjamin kestabilan hidup. 

  1. Hutang dan komitmen bulanan

Sebelum berkahwin anda digalakkan supaya bertanya dan mengambil tahu mengenai hutang dan komitmen bulanan pasangan. Contohnya, hutang pendidikan, hutang kereta, hutang rumah dan sebagainya. Contoh soalan yang boleh ditanya adalah, “awak ada hutang setiap bulan?”, “tiap bulan apa je komitmen yang awak perlu tanggung”, “dah habis bayar hutang PTPTN ke?”,”awak ada hutang kad kredit?”

  1. Tabung simpanan dan insurans perlindungan

Adat kehidupan pasti akan ada jatuh dan bangun. Jika ketika ini sedang bekerja, mungkin satu hari nanti akan dibuang kerja atau terpaksa berhenti kerja. Jadi, sebelum berkahwin awak perlu bertanya pada pasangan adakah dia sudah mempunyai tabung simpanan? Terutamanya, tabung waktu kecemasan. Selain itu, yang perlu diajukan pada pasangan adalah sama ada dia mempunyai perlindungan dia iaitu insurans takaful atau pun belum. Kalau nak tahu, orang yang mempunyai perlindungan takaful ni antara yang bijak kerana telah membuat persiapan masa depan dari awal lagi. 

  1. Cara kendalikan duit 

Ada sesetengah pasangan membuat akaun bersama untuk mengendalikan duit setiap bulan untuk sebarang komitmen dan untuk simpanan bersama. Tetapi, ada juga pasangan yang membuat 3 akaun. 1 akaun bersama dan 2 akaun individu. Akaun bersama untuk simpanan dan komitmen setiap bulan, manakala akaun individu untuk simpanan masing-masing. Jadi, amat perlu untuk anda bertanya pada pasangan bagaimana cara si dia mengendalikan duit pada masa sekarang dan akan datang. 

  1. Status cukai 

Tahukah anda, kebiasaannya selepas berkahwin akaun cukai anda akan digabungkan. Namun, anda dan pasangan perlu menetapkan siapa yang perlu membayar cukai supaya memudahkan di masa akan datang. 

Jangan risau dan jangan salah anggap. Perempuan kebiasaannya akan bertanyakan hal seperti ini supaya menjadi panduan dan agar lebih bersedia dari segi kewangan di masa akan datang. Apa-apa pun pekerjaan pasangan anda, jangan pernah pandang rendah dan teruskan menyokong si dia. Janji, si dia bertanggungjawab dan rajin! 

Moga artikel ini membantu sedikit sebanyak untuk anda semua!

Penulis : Fatimah