Antara perkara yang paling mendebarkan setiap pasangan adalah apabila perlu bertemu dengan bakal mertua. Rasa gemuruh, takut, seram sejuk semua ada. Daripada tak sakit perut boleh jadi sakit perut bila fikir kena jumpa mertua. Fuhh. Ada yang lebih teruk siap tak boleh tidur malam kerana terlalu takut memikirkan perkara ini. Risau dan takut sekiranya keluarga mertua tidak dapat menerima diri ini seadanya. 

Untuk mengelakkan rasa gugup dan takut yang melampau, berikut merupakan beberapa tip yang boleh anda praktikkan sebelum bertemu bakal mentua!

  1. Jaga percakapan

Pastikan anda sentiasa menjaga tutur kata dan intonasi ketika bercakap dengan bakal mentua. Jika bakal mentua anda seorang yang pendiam, cuba mulakan perbualan dengan bertanyakan mengenai hobi mereka. 

  1. Jaga penampilan diri

Selain daripada anda perlu menjaga percakapan, anda juga perlu menjaga penampilan diri. Ingat, “first impression” amatlah penting. Pakai pakaian yang sopan, kemas dan bersesuaian. Janganlah pakai sesuatu yang menjolok mata, nanti tak pasal-pasal kena “blacklist” jadi menantu. 

  1. Rancang pertemuan

Untuk mengelakkan anda gementar dan risau, adalah lebih baik sekiranya anda dan pasangan merancang masa dan waktu yang sesuai untuk bertemu dengan bakal mentua. Elakkan pertemuan secara mengejut. Pilih tarikh pertemuan seperti hari raya, kenduri kahwin dan sewaktu dengannya. 

  1. Jadi diri sendiri 

Tip seterusnya adalah anda hendaklah menjadi diri sendiri. Sebagaimana perangai anda kepada orang lain, begitu juga anda perlu buat di hadapan bakal mentua. Cuma anda hendaklah lebih bersopan dan mengetahui batas-batas. 

  1. Bawa buah tangan

Usaha tambahan untuk anda menambat hati bakal mentua adalah dengan membawa bekal atau buah tangan sewaktu pertemuan bersama. Bonus jika anda sudah terlebih dahulu merisik dengan pasangan apakah yang disukai oleh bakal mentua. 

  1. Perhati dan pelajari tentang bakal mentua

Sebelum anda berjumpa dengan bakal mentua, adalah lebih baik jika anda menyelidiki terlebih dahulu mengenai bakal mentua dari pasangan. Anda boleh tanyakan mengenai hobi mereka, perkara yang mereka minat, makanan kegemaran dan sebagainya. Ini bagi membolehkan sewaktu berjumpa nanti anda ada topik untuk dibualkan. 

Kesimpulannya, ambil segala peluang yang ada untuk mengenali keluarga bakal pasangan. Yelah bila kahwin nanti anda bukan hanya berkahwin dengan si dia, namun anda juga berkahwin dengan seluruh keluarganya. Yang penting, janganlah masam je sewaktu berjumpa bakal mentua. Murahkanlah senyuman anda yang manis tu! Moga-moga urusan anda untuk bertemu dengan bakal mentua dipermudahkan. 

Penulis : Fatimah