Khas untuk para traveller ataupun pengunjung yang berhasrat ingin ke pulau. Seperti yang kita tahu, pulau-pulau di Johor dapat menarik perhatian pengunjung untuk ke sana. Pulau Johor terletak di daerah Mersing, kalau orang Johor akan panggil ‘hujung Johor’ sebabkan ianya jauh dari bandar Johor Bahru. Ambil masa 2 jam kalau bergerak dari bandar Johor Bahru sehingga Mersing.
Mersing ini adalah daerah kecil sahaja dan Mersing juga merupakan tempat mendarat pelancong dari pulau-pulau Johor. Kalau kita sebut sahaja tentang pulau, mesti orang akan berniat ingin pergi ke sana untuk mendapatkan ketenangan, untuk melihat air lautan yang cantik dan pelbagai lagi.
Untuk pengetahuan anda, di Johor ada 9 pulau dan kesemua pulau ini mempunyai tarikan yang tersendiri. Tetapi ada 6 pulau yang sering dikunjungi oleh para pengunjung untuk melihat keindahan alam tersebut.

- PULAU BESAR
Pulau Besar atau nama sebenarnya Pulau Babi Besar kerana dikatakan terdapat banyak babi hutan yang berkeliaran suatu masa dulu. Tetapi untuk masa kini babi hutan pun telah tiada. Pulau ini sesuai untuk melakukan aktiviti berkelah dan bersantai sambil menikmati pemandangan pantai berpasir putih bersih. Dasar laut cukup memukau dengan hidupan marin dan batu karang yang penuh warna-warni.
- PULAU TINGGI
Pulau ini menempatkan gunung-gunung yang tertinggi jika dibezakan dengan gunung-gunung di sekitar pulau tersebut. Pulau ini terdapat gunung yang kelihatan seperti topi. Sehingga ianya pernah mendapat gelaran Pulau Topi oleh pelayar Cina ratusan tahun yang lalu. Gunung ini adalah Gunung Semardu yang mempunyai ketinggian sekitar 2,000 kaki dari paras laut. Selain melakukan aktiviti snorkeling, orang ramai juga boleh melakukan jungle tracking untuk menuju ke kawasan air terjun dan kolam kecil dan ianya mengambil masa 30 hingga 40 minit.
- PULAU SIBU
Pulau Sibu hanya boleh diakses dari Jeti Tanjung Leman. Di sini terdapat resort, aktiviti air seperti banana boat, bola pantai, menaiki jet ski, menyelam skuba dan sebagainya. Walaupun hanyalah sebuah pulau yang kecil, pulau ini mempunyai 4 buah pantai
di bahagian timurnya. Manakala di bahagian selatan pula, adalah spot terbaik untuk anda menyelam menikmati fauna lautan kerana terlindung dari tiupan angin. Pulau Sibu boleh dikatakan pulau yang serba lengkap dengan pelbagai kemudahan namun masih mengekalkan ketenangan flora dan faunanya.
- PULAU PEMANGGIL
Pulau Pemanggil ini terletak 45 km dari Mersing dan ia mengambil masa 4 ke 5 jam dengan menaiki bot untuk sampai ke pulau ini. Berpasir putih keemasan, dasar laut ini dihiasi batu karang yang memukau pandangan dan hidupan laut. Bagi kaki pancing, pulau ini pasti menjadi pilihan kerana terdapat banyak hidupan marin seperti barakuda, kerisi, tongkol, tambak, kerapu dan sebagainya.
- PULAU AUR
Pulau Aur sama seperti pulau yang lain, kaya dengan pelbagai kehidupan laut dan batu karang yang berwarna-warni. Namun, Pulau Aur adalah koleksi yang terbaik bagi para penyelam dan untuk orang yang sukakan snorkeling. Bagi mereka yang ingin berniat untuk berskuba, dicadangkan untuk anda datang pada bulan April hingga ke Oktober kerana air pada waktu itu sangat-sangat jernih.
- PULAU RAWA
Pulau Rawa adalah pulau yang sangat cantik dan indah dengan pasir putih bersih dan dasar laut yang mempesonakan. Cara terbaik untuk menikmati keindahan pulau ini adalah dengan aktiviti berkayak di sekitarnya pada hari laut tenang. Selain itu, pulau ini mempunyai 270 anak tangga untuk ke puncak dengan melihat panorama matahari terbenam. Keindahan Pulau Rawa ini ditambah dengan kehijauan hutan.
Untuk berkunjung ke pulau, anda perlulah mengikut bulan yang sesuai. Seperti yang kita tahu, pada hujung tahun atau bermulanya bulan September sehingga bulan Disember akan ada angin Monsun yang melanda di persekitaran pulau-pulau. Jadi tidak disarankan untuk anda bercuti ke pulau pada akhir tahun. Lebih sesuai jika anda merancang ke sana awal tahun kerana cuaca pun cantik dan tiada masalah untuk melakukan aktiviti-aktiviti air.
Penulis : Izzah
