Menjadi seorang ibu atau ayah merupakan impian hampir setiap manusia. Walaubagaimanapun, bukan semua orang diberikan rezeki atau peluang untuk memiliki anak. 

Ada pasangan yang baru sahaja berkahwin dan terus direzekikan kehamilan. Ada pula yang bertahun-tahun kahwin baru merasa nikmat kelahiran. Ada juga yang hingga ke akhir hayatnya tidak merasa bagaimana punyai anak penyambung keturunan.

Begitulah hakikat kehidupan. Ujian Allah berikan dalam pelbagai sudut. Sebagai manusia kita hanya perlu tabah, sabar dan berusaha sehabis baik. Lainnya serahkan kepada Dia.

Buat ibu dan ayah serta yang bakal bergelar ibu atau ayah tak lama lagi, sudah pasti kita mahu zuriat keturunan kita menjadi insan yang baik dan mulia kan? Jadi, kita dululah yang perlu belajar dan menjadi contoh yang baik kelak.

Pada kali ini, ingin dikongsikan kepada anda semua tentang ‘5 Cara Membantu Anak Jadi Tidak Kasar’.

Seharusnya kita perlulah menunjukkan sikap dan perkataan yang tidak kasar dengan mereka. Nak tahu lebih lanjut bagaimana caranya? Teruskan pembacaan anda.

Pertama sekali, kita perlulah bercakap baik-baik dengan anak. Perasan tak, ada ibu ayah yang memang praktikkan percakapan yang kasar dan tinggi nada suaranya. Mungkin ia terbawa-bawa daripada cara didikan ibu bapa mereka terdahulu. Tapi, berusahalah untuk gunakan perkataan yang baik dan nada yang sesuai agar anak akan membalas perkataan kita dengan baik juga. 

Kedua, sekiranya anak ada melakukan kesalahan, tak perlulah memarahi mereka sehingga mencederakan emosinya. Mungkin kita merasa puas kerana dapat melepaskan rasa geram dalam hati, tapi emosi anak mungkin akan terjejas dan memberi kesan tidak baik pada pertumbuhan otaknya. Tegurlah baik-baik dan berhikmah, mungkin jadi sedikit keras tapi masih dalam kawalan. Jika terlepas juga kemarahan dengan kasar, isi balik tangki emosi mereka dengan bawa mereka keluar jalan-jalan, belanja makan dan jelaskan semula apa yang berlaku. 

Ketiga, berikan pelukan kasih sayang kepada anak setiap hari. Anak-anak sangat memerlukan belaian dan perhatian ibu dan ayahnya, terutama yang masih bersekolah rendah ke bawah. Kalau taknak anak menjadi kasar, peluklah erat anak dengan penuh kasih sayang. Katakan padanya anda nakkan mereka jadi insan yang mulia. Cara ini dapat mengisi ruang hati anak, membuatkan mereka rasa dihargai dan diperlukan dalam hidup ibu dan ayahnya.

Cara ke empat, tolong jangan memaksa atau mengugut anak apabila kita meminta mereka berbuat sesuatu. Kaedah memaksa atau mengugut ini bukan membuatkan anak hormat kepada kita tapi lebih kepada takut akan kita. Kasihanilah mereka, kita nak anak dibesarkan dengan cara yang baik, bukan dimomokkan dengan perkara yang tak mungkin terjadi pun. Contoh ugutan yang membuatkan anak tertekan, takut, hilang keyakinan diri dan rasa ditipu: “Efaa, pergi mandi sekarang! Kalau tak bangun pergi mandi sekarang jangan harap dapat makan tengah hari ini. Eh, tak pergi mandi lagi? Nak ayah rotan kamu depan adik-adik kamu ni ke? Jangan nak buat ayah berkasar dengan kamu ya.” kata En Haris dengan kasar kepada anaknya.

Tip ke lima, kerapkan ucap I Love You. Ada buat tak? Jika belum pernah buat, sambil peluk anak, bisikkan di telinga atau cakap depan mukanya “Ayah sayangkan kamu.”, “Ummi sayangkan kamu”, “I Love You, sayang anak mama.” Anak akan merasa bahagia, mesra dan ikatan hati antara kalian juga akan bertambah erat.

Nak anak jadi tidak kasar? lakukan cara di atas ini. Ambillah masa dan bertindaklah segera agar anda dapat membentuk anak menjadi insan yang baik dan mudah mendengar cakap.

Apa-apapun sebagai ibu ayah, muhasabah diri selalu dan ingatlah anak banyak belajar melalui pemerhatian dan pendengaran mereka. Tunjukkan contoh yang baik!

Penulis : Saiful