Betul ke anak perempuan sahaja yang perlu diajar untuk membuat kerja rumah? Sebab apa kata macam tu? Adakah sebab anak perempuan akan menjadi isteri suatu masa nanti? Isteri sahaja ke perlu buat kerja rumah?
Tidak kan, buat kerja rumah ni tak perlu kira apa jantinanya. Semuanya perlu bekerjasama. Semuanya perlu pandai kalau nak bagi rumah tangga yang dibina aman dan harmoni. Bukan mengharap sebelah pihak sahaja.

Kalau kerja rumah diajar kepada anak perempuan sahaja, anak lelaki kita nak bagi buat apa? Bukankah anak lelaki yang bakal menjadi ketua keluarga kelak?
Antara kerja rumah yang boleh kita aturkan untuk anak lelaki :
-Menyapu
-Membersih cermin
-Membasuh pinggan
-Mengemas katil sendiri
-Melipat baju
Baiklah, sebenarnya anak lelaki lebih lagi perlu diajar untuk membuat kerja rumah kerana mereka akan dapat pelbagai manfaat. Nak tahu apa manfaatnya? Teruskan membaca.
Pertama, anak lelaki akan menjadi lebih berdikari untuk mengurus hal-hal rumah, secara tak langsung mereka akan dapat berdikari apabila berada di luar. Kenapa jadi macam tu? Apabila mereka buat kerja rumah, mereka tahu susun atur sesuatu barang dan apa yang perlu untuk pastikan rumah menjadi kemas. Jadi, mereka akan membuat keputusan terbaik untuk setiap tugasan yang diberikan.
Kedua, buat kerja rumah adalah cara paling praktikal untuk melatih anak lebih berdisiplin dan bertanggungjawab. Walaupun pada awalnya mereka mungkin ambil masa untuk membuat kerja rumah, tapi berikan peluang untuk mereka merasa sendiri dan mengurus masa dengan baik agar tugas yang diberikan terlaksana. Mungkin pada peringkat awal, boleh minta anak pastikan setelah bangun tidur, terus lipat selimut, betulkan cadar dan kemas bantal. Disiplinkan mereka agar mereka tahu itu adalah tugas pertama apabila celik mata.
Ketiga, kerja rumah dapat mengasah kemahiran urus dan rancang anak kita. Semakin biasa membuat kerja rumah, semakin pandai urus dirinya. Mana tak nya, dia sudah terbiasa dengan urus dan rancang dalam rumah. Mudah untuk dia aplikasikan dalam kehidupan sehariannya nanti.
Keempat, anak yang biasa buat kerja rumah akan lebih matang berbanding yang tidak dididik untuk buat kerja rumah. Hal ini terjadi kerana tekanan untuk menyiapkan tugasan yang diberi membuatkan dia sedar akan tanggungjawab tersebut bukanlah diberikan suka-suka tapi bermakna. Mindset dia seperti ini, “Apabila mengemas, rumah nampak selesa. Tak rajin mengemas, rumah berantakan.”
Akhir sekali yang kelima, anak makin hormat ibu ayahnya selepas dia tahu betapa susah dan penat buat kerja rumah. Anda setuju?
Itulah antara manfaatnya. Siapa yang dapat mendidik anak membuat kerja rumah dengan baik, pasti akan dapat merasa kelainan pada diri anak seperti yang dinyatakan di atas.
Didik anak, bukan mendera. Kita nak mereka tahu menjalankan kehidupan bukan sekadar makan, tidur, belajar dan bersantai-santai.
Semoga anak lelaki ini akan menjadi suami yang baik dan mampu menguruskan rumah tangganya dengan cemerlang kelak.
Penulis : Saiful
