Apabila pasangan merajuk, kesannya membawa kepada perhubungan yang semakin hambar. Tiada lagi gelak ketawa si dia. Tiada lagi kisah ceritanya yang menemani hari-hari kita. Terus terasa dunia ini tiada seri tanpa si dia.
Apabila pasangan merajuk, ada kemungkinan antara kita terus rasa buntu kerana tidak tahu punca sebenar si dia merajuk. Mulalah tertanya-tanya, di manakah silapnya?
Perkongsian artikel kali ini berkaitan 5 cara memujuk pasangan jika pasangan merajuk. Sangat berkesan untuk mengembalikan sinar cinta dan keharmonian dalam perhubungan yang dibina.
1. Berikan masa kepada pasangan.
Apabila pasangan merajuk, sebenarnya cara terbaik yang boleh dilakukan adalah tidak perlu memujuk si dia on the spot. Berikan masa kepada si dia untuk menenangkan dan menyejukkan hati. Masa yang diberikan juga membolehkan diri kita untuk berfikir secara rasional dan tidak mengikut emosi sekiranya si dia merajuk tanpa punca yang kita ketahui.

2. Tanya si dia jika anda tidak pasti punca sebenar si dia merajuk.
Ada masa keadaan menjadi sangat tegang apabila kita sendiri tidak tahu punca sebenar. Puas fikir dan mencari punca sebenar, tetapi masih juga menemui jalan buntu. Cara yang boleh dilakukan adalah dengan meminta maaf kepada si dia sekiranya ada perkara yang dilakukan tanpa sengaja.
3. Jangan biarkan pasangan merajuk dalam tempoh yang sangat lama.
Kesilapan yang kerap kali dilakukan ramai pasangan adalah dengan membiarkan si dia merajuk dalam tempoh yang sangat lama. Jangan terkejut ya, ada yang membiarkan pasangan merajuk sehingga berbulan-bulan tanpa dipujuk. Akhirnya, hubungan semakin renggang. Pasangan diibaratkan tidak memahami dan tidak menunjukkan usaha untuk memujuk dan memperbaiki hubungan.

4. Ajak berbincang.
Perbincangan sebaiknya dilakukan secara bersemuka sekiranya tiada kekangan masa untuk berjumpa. Elakkan berbincang melalui chat atau call sahaja. Perbincangan secara bersemuka akan jelas terlihat mimik muka dan respon secara langsung dari si dia. Sekiranya terdapat sesuatu ketidakpuasan hati, izinkan si dia berterus terang untuk mengelakkan salah faham yang berpanjangan.
5. Ajak berbual-bual.
Cuba sehabis baik untuk mengambil perhatian si dia dengan mengajak si dia berbual-bual seperti tidak ada masalah yang berlaku. Jangan biarkan pasangan memendam perasaan. Semakin lama dipendam, boleh jadi semakin bernanah hati si dia.
Semoga dapat dipraktiskan segala tip yang diberikan.
Penulis : Afifah
