Setiap perkenalan dan pertemuan dengan seseorang yang istimewa pastinya ingin diakhiri dengan sebuah perkahwinan yang membahagiakan. Rumah tangga yang dibina tidak boleh hanya bergantung atas dasar cinta sahaja, tetapi perlu diusahakan bagaimana untuk mengekalkan perhubungan tersebut.
Lagi pula bagi mereka yang berada dalam tempoh ke arah perhubungan yang lebih serius, perlu menjaga perhubungan tersebut supaya berkekalan sehingga ke jinjang pelamin.
Kami kongsikan artikel ini untuk anda mengekalkan perhubungan sehingga kahwin:
1. Jangan sesekali berahsia.
Ada perkara yang tidak sepatutnya dirahsiakan kepada pasangan. Ada perkara yang perlu dirahsiakan supaya isu tidak diperbesarkan demi keharmonian rumah tangga. Sekiranya perkara tersebut perlu dimaklumkan kepada pasangan, berterus terang itu lebih baik untuk mengelakkan timbul perkara-perkara yang tidak diingini. Lebih buruk lagi, apabila pasangan dapat mengetahui hal sebenar daripada pihak lain. Jika ada sesuatu perkara yang ingin dijelaskan kepada pasangan, sebaiknya carilah masa dan waktu yang sesuai.

2. Jangan biarkan orang ketiga masuk campur.
Sekiranya ada perselisihan faham antara pasangan, elakkan campur tangan orang ketiga dalam menyelesaikan isu tersebut. Isu yang kecil boleh jadi bertambah besar sekiranya terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab yang ingin melihat pengakhiran perhubungan tersebut dengan perpisahan. Andai hubungan tidak diselesaikan dengan cara baik, libatkan individu yang dipercayai sebagai orang tengah. Contohnya, keluarga di kedua-dua pihak.
3. Ringankan mulut untuk meminta maaf dan memberi maaf.
Dalam menghitung hari sebelum diijab kabulkan, pastinya banyak dugaan dan rintangan yang perlu dilalui oleh bakal pasangan. Sekiranya terdapat kesilapan yang berlaku, ringankan mulut untuk meminta maaf dengan segera dengan mengakui kesalahan tersebut. Andai pihak pasangan yang melakukan kesilapan, rendahkan ego untuk menerima kemaafan yang diberikan. Ketika ini, ego perlu diletakkan di tepi. Ego yang melangit bakal menghancurkan perhubungan yang ingin dibina.

4. Bina komunikasi yang jelas antara pasangan.
Komunikasi adalah kunci dalam sesebuah perhubungan. Kebanyakan masalah rumah tangga yang tidak bertahan lama berpunca daripada komunikasi antara pasangan tidak berkesan. Kata sepakat antara pasangan tidak dapat dicapai. Banyak juga isu hanya sebelah pasangan sahaja yang boleh bersuara, manakala pihak satu lagi tidak diberi peluang untuk bersuara. Oleh itu, sebelum menjelang hari pernikahan, bina kepercayaan antara pasangan supaya pasangan rasa didengari setiap perkara yang ingin disampaikan.
5. Elakkan silent treatment.
Silent treatment merupakan pembunuh dalam diam sesuatu perhubungan. Pada awalnya, pasangan mungkin mendiamkan diri dalam tempoh yang singkat mungkin 2 atau 3 hari. Tetapi, seandainya keadaan ini berterusan boleh mengakibatkan perhubungan jadi hambar. Apabila sebelum kahwin selalu melakukan Silent treatment terhadap pasangan, kemungkinan besar selepas berkahwin nanti keadaan ini akan berterusan. Silent treatment boleh menyebabkan pasangannya rasa diabaikan. Oleh itu, sekiranya berlaku perselisihan pendapat atau pergaduhan, mendiamkan diri bukan jalan penyelesaian.
Semoga perhubungan yang dibina bukan hanya kekal sehingga kahwin, tetapi berkekalan sehingga ke jannah.
All the best !
Penulis : Afifah
