Kadangkala, perkara simple yang dilakukan adalah lebih bermakna buat pasangan. Pasangan akan jadi rindu apabila ketiadaan pasangannya di sisi. Bukan itu sahaja, pasangan merasakan lebih dekat dan dihargai apabila sekecil-kecil perkara pun pasangan tidak berkira untuk melakukannya.

Kami kongsikan buat anda para isteri, 5 perkara simple yang boleh dilakukan untuk suami tercinta.

1. Sediakan pakaian suami.
Apabila sudah menjadi suami isteri dan direzekikan untuk tinggal bersama, isteri boleh menggunakan pendekatan untuk menyediakan pakaian yang perlu dipakai suami pada hari tersebut. Dari sini juga, isteri akan lebih mengenali karakter suami tentang pakaian yang digemarinya, lagi pula jika pasangan baru berkahwin.

Oh ya, isteri juga mendapat pahala ibadah apabila menyediakan pakaian buat suami untuk dipakai bekerja, kerana bekerja merupakan ibadah yang dilakukan oleh suami. 

2. Makan bersama.
Jika dapat meluangkan masa untuk memasak buat suami, alhamdulillah peluang yang tidak semua isteri dapat lakukan terutamanya bagi isteri yang bekerja sepenuh masa. Masakan isteri dapat mengeratkan kasih sayang antara suami dan isteri. Namun, jika isteri tidak sempat untuk menyediakan juadah buat suami, sekurang-kurangnya isteri dapat meluangkan masa untuk menemani suami di meja makan.

Peluang makan bersama suami isteri dapat digunakan untuk bersembang dan bertanyakan tentang aktiviti seharian yang dilalui oleh pasangan.

3. Solat jemaah bersama.
Apabila ibadah dilakukan secara bersama semakin eratlah kasih sayang antara suami isteri. Ia secara tidak langsung menimbulkan rasa hormat isteri kepada suaminya, manakala suami akan bertambah kasih kepada isterinya. Saat waktu begini, suami dan isteri boleh menggunakan peluang untuk bersembang dan menegur pasangannya sekiranya ada perkara yang perlu diberitahu.

Kemungkinan ada perkara yang perlu dibincangkan boleh dilakukan selepas sahaja selesai solat jemaah. Menurut kajian, solat jemaah antara pasangan dapat mengurangkan pergaduhan dan perselisihan faham antara pasangan.

4. Luangkan masa bersembang di dalam kereta.
Ada dalam kalangan pasangan, suaminya yang menghantar dan menjemput dari tempat kerja. Peluang yang ada semasa di dalam kereta boleh digunakan untuk berborak kosong atau berbincang tentang perkara-perkara yang serius.

Jika menginginkan suasana yang tenang dan santai, anda boleh mencari topik-topik yang ringan untuk diborakkan. Contohnya, anda boleh buka kisah anda semasa kanak-kanak dahulu, ceritakan pengalaman yang mungkin anda tidak dapat lupakan atau kisah yang mungkin pasangan belum tahu tentang diri anda. Sebenarnya, secara tidak langsung anda dapat mengenali pasangan anda lebih rapat dan dekat. Percayalah, semakin jatuh cinta anda dan pasangan jika saling bergelak ketawa.

5. Pastikan tempat tidur bersih dan kemas.
Barang-barang yang tidak digunakan boleh disedekahkan atau dibuang untuk mengurangkan barang yang berada dalam bilik anda dan pasangan. Contohnya, pakaian dan perabot yang tidak lagi digunakan. Ruang bilik yang serabut memberi rasa tidak selesa buat suami untuk berehat dan duduk dalam tempoh masa yang lama di dalam bilik.



Penggunaan konsep yang minimalist dan menyejukkan mata dalam bilik tidur membuatkan suami lebih selesa untuk duduk di rumahnya sendiri berbanding asyik keluar lepak sahaja. Simple sahaja, isteri pastikan bilik tidur sentiasa kemas dan bersih ya!

Cukup dahulu 5 tip yang kami berikan. Buat dahulu dan lihat hasilnya. Semoga terus ikhlas dan bercinta dengan pasangan sampai syurga.