Perkenalan secara online zaman kini  tidak asing lagi dalam kalangan mereka yang bujang untuk mencari pasangan hidup. Pencarian jodoh secara atas talian dan hanya di hujung jari memudahkan bagi mereka yang mempunyai kekangan masa kerana kesibukan bekerja.

Bonus juga sebenarnya bagi mereka yang introvert yang lebih memilih untuk berkenalan secara atas talian berbanding bersemuka.

Namun, terdapat permasalahan bagi mereka apabila untuk memulakan perbualan walaupun hanya di atas talian. Perkongsian kali ini, kami bawakan kepada anda 5 tip memulakan perkenalan secara atas talian dengan mudah dan berkesan.

1. Mula perbualan dengan pertanyaan.
Tidak semua perkara kita ketahui, pastinya ada beberapa perkara yang kurang pasti memerlukan pertanyaan lanjut kepada calon pasangan. Mulakan perbualan pertama anda dengan si dia dengan soalan yang mungkin anda kurang faham dan sangat berkaitan dengan si dia. Contohnya seperti:

“Assalamualaikum awak, saya perasan awak belajar dalam bidang marketing kan? Boleh awak ajarkan saya untuk setting business account saya?”

2. Timbulkan rasa minat yang sama antara pasangan.
Mula dengan melihat stories Instagram, Facebook dan WhatsApp si dia. Ketepikan rasa malu untuk memulakan teguran dahulu. Mana tahu dari permulaan perbualan pertama dapat membawa ke jinjang pelamin kan?

Contohnya:
“Eh awak pun suka hiking juga ya? Biasanya hujung minggu awak selalu hiking kat mana je? Saya selalu hiking dekat belakang bukit rumah saya ni je…”

3. Jangan malu tanya pendapat si dia.
Tiada salahnya andai nak mulakan perbualan dengan bertanyakan pendapat si dia. Tetapi berhati-hati ya, jangan sampai mendesak untuk mendapatkan jawapan daripadanya. Pemilihan masa yang sesuai sangat penting sekiranya anda memerlukan masa si dia untuk fokus kepada soalan yang diberikan. Cuba ya!

Assalamualaikum awak, nak tanya pendapat awak sikit ni. Awak tengah free ke?

4. Ringankan mulut untuk hulurkan pertolongan.
Ada masanya pasti si dia memerlukan bantuan dan sekiranya perlu dalam keadaan sepatutnya si dia mendapat pertolongan, apa salahnya untuk anda menghulurkan bantuan.

“Awak okay ke? Saya tengok semua status awak semua sedih-sedih je?”
“Emak awak dah sihat? Kalau ada perlukan bantuan, awak beritahu saya ya.”

5. Rajin berkongsi pengalaman.
Rajin-rajin berkongsi pengalaman walaupun tidak diminta. Ini menandakan anda seorang yang senang didekati dan berkongsi. Beritahu si dia juga, seandainya memerlukan info lanjut tentang perkongsian anda, anda sudi meluangkan masa untuk berkongsi lagi pada masa yang lain.

“Saya kongsikan sedikit pengalaman saya ya. Harapnya dapat membantu awak…”.
Selamat mencuba ya!

Penulis : Afifah