Senang sebenarnya untuk para suami membahagiakan isteri. Kadang-kadang, isteri tidak mengharapkan hadiah yang mahal atau percutian yang indah dari suaminya supaya diri lebih bahagia dan dihargai. Namun, isteri sangat mengharapkan suami lebih memahami dan meringankan urusan rumah tangga yang dilalui setiap hari.

Pernah dengar istilah ini, happy wife happy life?

Maksudnya begini, perkahwinan akan terpelihara dengan baik dan menyeronokkan apabila pasangan membahagiakan isterinya terlebih dahulu. Jadi rajin-rajinlah membahagiakan isteri sekiranya mengimpikan rumah tangga yang bahagia.

5 tip yang boleh dilakukan buat para suami kepada isteri demi kebahagian hidup yang lebih harmoni iaitu :
1. Isi minyak kereta isteri sehingga penuh.


Isteri sangat tenang hatinya apabila minyak kereta sentiasa penuh. Mana tidaknya, si isteri seribu satu macam perkara yang difikirkannya.  Sebagai suami yang prihatin terhadap isterinya, apa salahnya mungkin setiap hujung minggu suami boleh memeriksa terlebih dahulu tangki minyak kereta isteri dan pergi ke stesen minyak berdekatan untuk mengisi minyak kereta sehingga penuh. Percayalah, isteri akan lebih bertambah cinta kepada suaminya.

2. Sekali sekala beritahu isteri untuk makan luar.
“Sayang hari ini tak perlu masak lah ye… kita makan luar. Sayang siap-siap sekarang, kejap lagi abang sampai.”

Ya Allah, berbunga hati isteri kalau dapat panggilan atau chat whatsApp macam ini. Lega hati isteri apabila dapat makan luar dan berehat dari memasak walaupun sehari. Buat para suami, belanja lah isteri selalu insyaAllah semakin banyak rezeki yang Allah berikan kepada keluarga nanti. 

3. Urut kaki dan kepalanya.
Kadangkala isteri bukan tak nak minta diurut, tetapi isteri risau seandainya menyusahkan suaminya. Jika ingin ke spa, faktor kekangan masa untuk ke sana. Oleh itu, tanpa diminta dan rasa rela hati, tawarkan diri anda untuk mengurut kaki dan kepalanya. Mungkin anda boleh menyediakan minyak aromaterapi untuk menaikan bau wangi-wangian semasa mengurut.

Namun, jika anda tidak berkemahiran untuk mengurut dan khuatir jika tersilap langkah, risau jika semakin diurut semakin sakit isteri, lebih baik anda menawarkan isteri pakej untuk memanjakan diri di spa. Pakej serendah RM100 pun ada tau!

4. Isikan air dalam botol airnya untuk bawa ke tempat kerja.
Paling simple dan membahagiakan! Tidak memerlukan wang ringgit dan tenaga yang banyak sekiranya ingin mengisi air di dalam botol isteri. Isteri ini kadangkala perkara-perkara yang besar dan penting pun si isteri boleh ingat. Tetapi perkara yang mudah dan kecil seperti mengisi air dalam botol membuatkan si isteri lupa. Cubalah ya buat para suami mulakan dari hari ini untuk mengisikan air dalam botol si isteri ya!

5. Biarkan isteri berehat di dalam kereta.
Jika si isteri ingin melelapkan mata seketika sewaktu anda sedang memandu, biarkan sahaja. Kereta boleh jadi tempat yang paling tenang untuk isteri berehat sebelum sampai di rumah atau di destinasi yang ingin dituju. Cara pemikiran lelaki dan wanita tidak sama.  Banyak perkara yang bermain-main di fikirannya yang perlu diselesaikan. Oleh itu, tidak boleh dinafikan bahawa wanita itu seorang yang multi-tasking. Manakala, buat suami pula lebih bijak menguruskan sesuatu perkara yang boleh diselesaikan terlebih dahulu.

Kesimpulannya, berbuat baik dan bahagiakan isteri seperti hadis dari Ibnu Abbas r.a : Nabi saw bersabda,“Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik kepada isterinya, dan aku (Nabi saw) adalah orang yang paling baik di antara kalian kepada isteri ku.”

Selamat mencuba ya!

Penulis : Afifah