Maksud Ta’aruf dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka ialah perkenalan. Usah cemari maksud ta’aruf seandainya perkenalan yang dibina atas tujuan yang tidak jelas dan tidak membawa kepada perhubungan yang halal.
Satu hal lagi yang perlu dititikberatkan apabila menyebut tentang ta’aruf, ia memerlukan proses yang amat panjang untuk berkenalan dengan seseorang. Kerap kali kita mendengar istilah ta’aruf ini hanya dilalui prosesnya sebelum bernikah. Namun, proses ta’aruf ini sebenarnya proses yang berterusan sepanjang perkahwinan.
Jika anda dan si dia sedang berta’aruf sekarang, 5 perkara utama yang harus diambil perhatian supaya anda lebih rasional tentang perasaan yang dilalui. Bermula dari sini, anda akan meletakkan sempadan (boundaries) untuk perkenalan tersebut sebelum melangkah ke hubungan yang lebih serius.
1. Hal peribadi
Anda perlu melihat kepada ciri peribadi calon pasangan yang menarik dan mendorong perhatian anda untuk meneruskan perkenalan. Hanya diri anda saja yang dapat menilai sejauh mana penerimaan anda terhadap ciri-ciri peribadinya yang utama.
– Adakah didorong nafsu disebabkan ketampanan atau kecantikannya?
– Adakah disebabkan budi pekertinya yang baik, bersopan-santun atau sebagainya?

2. Pegangan agama
Sebenarnya, tidak mudah ya untuk menilai pegangan agama seseorang apabila sedang berta’aruf. Risau sekiranya apa yang dijangkakan tidak seperti apa yang diharapkan. Oleh itu, lihat sejauh mana calon pasangan tersebut cakna tentang:
– penjagaan waktu dan cukup solat 5 waktunya?
– penjagaan aurat yang sepatutnya apabila berdepan dengan mahram?
– kepercayaan dan adab calon pasangan tentang pegangan agama?
3. Keluarga
Apabila berkahwin, anda tidak berkahwin dengan calon pasangan sahaja. Anda berkahwin dengan seluruh ahli keluarganya. Oleh itu, sangat penting untuk menilai dan melihat penerimaan keluarganya terhadap diri anda. Bukan itu sahaja, penerimaan anda terhadap keluarga pasangan juga penting ya!
– Bagaimana kepercayaan dan adat budaya keluarga pasangan?
– Apakah rutin harian kebiasaan yang dilakukan keluarga pasangan?
– Bagaimana hubungan silaturahim antara ahli keluarga?

4. Kewangan
Banyak kes penceraian berlaku berpunca daripada masalah kewangan. Pengurusan kewangan yang baik dalam rumah tangga membantu keharmonian rumah tangga dan ahlinya. Bukannya mahukan seseorang yang kukuh pendapatannya. Namun, sudah memadai memilih calon pasangan yang bijak dalam merancang urusan kewangannya.
– Komitmen bulanan calon pasangan anda?
– Adakah calon pasangan terjebak dengan skim cepat kaya (MLM)?
– Adakah calon pasangan bersedia tentang simpanan masa depan?
5. Perancangan masa depan
Hal ini sangat penting untuk dibincangkan dalam ta’aruf sebelum membuat keputusan untuk berhubungan serius dengannya. Kebanyakan perhubungan yang tidak dapat kekal lama akibat tidak mencapai kata sepakat tentang perancangan masa depan. Antaranya dari segi:
– tempat tinggal
– kerjaya
– perancangan keluarga
– simpanan dan pelaburan
Jangan diambil ringan tentang proses ta’aruf ini jika anda mahukan perhubungan yang sihat dan bahagia. Ta’aruf itu ada usaha yang boleh dilakukan oleh diri sendiri, manakala segalanya yang lain berserah hanya kepada-Nya.
Semoga berjaya dalam ta’aruf dan bertemu pasangan yang membahagiakan!
Penulis : Afifah
