Impian semua pasangan yang berkahwin untuk memiliki perhubungan yang sihat dan membahagiakan. Tidak ada insan di muka bumi ini mengharapkan perhubungan yang menyakitkan sehingga membawa kemudaratan kepada diri.
Perhubungan yang sihat memberi seribu satu makna buat pasangan yang berkahwin. Ia merupakan rezeki yang sangat bernilai anugerah daripada-Nya.
Berikut merupakan 5 tanda anda mempunyai perhubungan yang sihat bersama pasangan:
1. Pasangan saling mencintai dan berkasih sayang.
Sesebuah perhubungan suami isteri tidak akan lengkap sekiranya hilangnya sifat berkasih sayang dan saling mencintai antara pasangan. Benih kasih sayang dan cinta ini perlu disiram setiap hari untuk memastikan ia terus hidup sepanjang perkahwinan.

2. Pasangan saling mempercayai tanpa rasa sangsi.
Rasa percaya antara pasangan perlu dibina sebelum berkahwin lagi. Seterusnya perlu berterusan sepanjang perkahwinan. Bayangkan jika setiap masa pasangan merasa sangsi dan rasa tidak percaya kepada pasangannya, pastinya akan lebih rasa terkongkong dalam perhubungan.
3. Pasangan saling rasa selamat dan tenang apabila disampingnya.
Bagi seorang wanita itu apabila sudah berumah tangga, keinginannya untuk rasa tenang dan selamat apabila disamping suaminya. Suami perlu menjadi pendamping dan penenang buat isteri supaya sentiasa rasa dilindungi ketika diperlukan.

4. Pasangan saling menerima antara satu sama lain.
Kekurangan diri pasangan perlu diterima dengan hati terbuka. Sewaktu ingin membuat keputusan untuk menerima dirinya sebagai pasangan, kita seharusnya telah jelas bahawasanya kita perlu menerima segala kelebihan dan kelemahannya. Perkahwinan itu saling melengkapi. Tiada perkahwinan yang sempurna kerana diri kita juga tidak sempurna.
5. Pasangan lebih bersemangat untuk perbaiki diri.
Perhubungan yang sihat itu apabila pasangan lebih bersemangat untuk memperbaiki diri. Contohnya, dari sudut kerjaya, perhubungan dengan keluarga dan orang sekeliling serta urusan ibadahnya.
Perhubungan yang sihat ini boleh dibina dan dimulakan dari awal perkahwinan yang dibina. Sama-sama kita berusaha untuk menjadikan perhubungan halal yang dibina ini sebagai ladang pahala yang sangat besar untuk diri dan pasangan kita.
All the best !
Penulis : Afifah
