Kebiasaannya antara kita yang sedang sibuk mencari bakal pasangan akan merasa keliru tentang persediaan bakal pasangan untuk melayari bahtera perkahwinan yang bakal dibina.
Terdapat susunan soalan yang ingin diberikan kepada pasangan bagi memastikan si dia adalah individu yang tepat untuk dijadikan pasangan sehidup semati.

Namun, terlupa untuk menyoal diri sendiri tentang persediaan dan keyakinan diri untuk melayari bahtera perkahwinan ini.

Sebagaimana kita mengharapkan si dia menjawab setiap persoalan yang kita berikan dengan jujur, begitu juga dengan soalan yang diberikan kepada diri sendiri, perlulah dijawab dengan jujur.

Terdapat 7 soalan wajib yang perlu dijawab dengan jujur jika benar hendak berkahwin dengan si dia.


1. Adakah kita sudah bersedia untuk melengkapkan dan menjadi penyokong kuat buat pasangan selepas berkahwin nanti?
Selepas berkahwin, pasangan antara individu yang paling rapat dengan diri kita. Pastinya kita adalah support system kepada diri pasangan dalam apa jua keadaan yang mendatang. Segala kekurangannya ditutupi dengan kelebihan yang terdapat dalam diri kita.

2. Adakah kita jelas tentang tanggungjawab si dia terhadap diri kita? Adakah kita jelas tentang tanggung jawab diri kita terhadap si dia?
Institusi rumah tangga menjadi goyah apabila setiap individu dalam institusi tersebut tidak menjalankan tanggungjawab dengan sebaik yang mungkin. Laksanakan amanah yang diberikan sehabis baik untuk keharmonian dan kebahagiaan rumah tangga.


3. Adakah berkahwin dengan si dia membuatkan kita bertambah dekat kepada Allah SWT?
Semestinya perkahwinan yang ingin dibina membawa diri untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik. Matlamat utama perkahwinan adalah ingin menuju dan masuk syurga bersama-sama. Tidak hanya tinggal bersama di dunia sahaja. 


4. Adakah kita berkahwin ini disebabkan rasa sunyi?
Jangan terkejut ya, ada yang membuat keputusan untuk berkahwin disebabkan rasa sunyi apabila telah lama hidup bersendirian tanpa teman. Jika difikirkan lebih panjang lagi, bagaimana jika selepas berkahwin masih terasa sunyi? Beringatlah, perkahwinan bukan jalan untuk menghilangkan rasa sunyi semata-mata.

5. Sejauh mana kita telah betul-betul kenal si dia? Bagaimana dengan keluarga dan kisah lepas?
Bukan mahu menakut-nakutkan, tetapi sekadar peringatan adakah kita telah kenal latar belakang si dia dan keluarganya. Apabila berkahwin, banyak perkara yang perlu di ambil perhatian. Lagi pula nanti, untuk diri kita membiasakan diri dengan keluarga pasangan.


6. Adakah si dia individu yang tepat untuk menjadi ayah/ibu kepada bakal anak-anak yang lahir nanti?
Pasangan yang dicari bukan sahaja untuk menjadi pasangan sehidup semati diri kita, tetapi pasangan yang dipilih juga akan menjadi ayah/ibu kepada anak-anak kita nanti. Anak-anak yang dilahirkan nanti tidak boleh memilih siapa yang bakal menjadi ayah/ibunya. Tetapi, kitalah yang bertanggungjawab untuk memilih siapakah ibu atau bapanya.

7. Adakah kita tidak selesa dengan status bujang ini? Kenapa kita merasa yakin untuk berkahwin sekarang?
Hanya tuan empunya diri saja yang boleh jujur dengan soalan ini. Pastinya ada jawapan tersendiri bagi menjawab persoalan ini. Diri kita perlu yakin dengan setiap keputusan yang dipilih bukannya berlandaskan emosi semata-mata. 

Cuba dulu ya 7 soalan ini. Lagi dekat tarikh pernikahan, lagi perlu anda percepatkan untuk anda jelas dengan persoalan ini. 
All the best!

Penulis : Afifah