Apabila menyebut tentang perkahwinan, pastinya pasangan pengantin baru membayangkan moment indah dan manis-manis belaka sahaja. Namun, sebagai peringatan awal perkahwinan bukanlah hanya keseronokan semata-mata untuk hidup bersama pasangan.

Hakikatnya, perkahwinan yang dibina hadir bersama tanggungjawab dan amanah besar yang perlu digalas sebaik sahaja selesai proses ijab dan kabul. Ia bakal dilalui sepanjang perjalanan melayari bahtera rumah tangga tersebut. Tidak kira sama ada suami atau isteri, masing-masing perlu bertanggungjawab atas peranan dan status masing-masing.

Perkongsian artikel kali ini, khas buat mereka yang bakal bergelar suami. Terdapat 4 persediaan sebelum anda bertukar status menjadi suami. Persoalannya, bersediakah anda?


1. Tahu tanggungjawab.
Sebelum menjadi suami, anda perlu tahu tentang tanggungjawab seorang lelaki itu adalah bermula dengan mencari dan memilih calon isteri yang baik terlebih dahulu. Dari sini, bermulalah proses mendidik isteri untuk menjadikan rumah tangga itu dalam keadaan aman dan tenang.

2. Pengurusan kewangan.

Bab pengurusan kewangan, para suami seharusnya lebih peka untuk memastikan ia diuruskan dalam keadaan yang baik dan teratur. Masalah rumah tangga yang kerap terjadi berpunca daripada masalah pengurusan kewangan yang tidak baik. Nafkah pula perlu ditunaikan sebagai tanggungjawab yang paling utama buat isteri. Sekiranya suami tidak begitu mahir dalam pengurusan kewangan, minta bantuan isteri untuk menguruskannya.


3. Pengurusan emosi diri.
Apabila perasaan resah, takut dan gelisah hadir, tuan empunya badan pasti mengetahui punca-punca dan cara mengatasinya. Sekiranya anda buntu dan memerlukan bantuan pakar untuk mengendalikan emosi diri, sila dapatkan bantuan dengan segera. Pengurusan emosi sangat penting dikendalikan daripada awal supaya selepas berkahwin tidak timbul isu bahawa pasangan tidak memahami diri anda.

4. Pengurusan emosi pasangan.
Pengurusan emosi pasangan juga penting bagi memenuhi keperluan nafkah batin dari segi mental seorang isteri. Banyak kesan buruk sekiranya seorang pasangan tersebut tidak dapat memenuhi keperluan emosi pasangannya. Salah satu daripada kesan tersebut adalah pasangan mula mencari ‘orang’ lain untuk mendengar segala luahan hatinya. Malangnya jika orang tersebut berbeza jantina dan mungkin boleh mengundang konflik yang jauh lebih besar di kemudian hari.

Oleh itu, buat bakal suami mulakan langkah untuk belajar mempersiapkan diri sebelum bertukar status. Bukan hanya 4 perkara ini sahaja yang anda perlu belajar, terdapat banyak lagi ilmu dan perkara lain yang perlu digali dan dipelajari bagi membina sebuah rumah tangga yang harmoni di dunia dan akhirat.

All the best ya!

Penulis : Afifah