“Orang kata kahwin ni sekali sahaja seumur hidup, apa salahnya kalau nak buat besar-besaran kan?”
Itu apa orang kata, tetapi jika kos perkahwinan ini membebankan diri sendiri jangan sesekali menafikan perkara tersebut. Ada kalanya kenyataan itu sangat pahit untuk ditelan. Tuan empunya badanlah yang sepatutnya mengukur baju di badan sendiri. Jika tidak mampu untuk menyediakan majlis secara besar-besaran, cukuplah sekadar yang termampu.
3 tip ini dapat membantu anda menjimatkan kos perbelanjaan semasa hari perkahwinan. Cubalah ya!

1. Senaraikan Nama Tetamu Jemputan.
Perasan atau tidak sebenarnya tetamu jemputan yang paling ramai adalah dari kenalan ibu dan bapa kita berbanding kenalan sendiri. Belum terlambat lagi untuk anda duduk berhadapan dengan ibu bapa anda dan maklumkan kepada mereka tentang jumlah tetamu yang ingin dijemput sewaktu majlis perkahwinan anda. Sebaiknya, senaraikan dengan lebih terperinci jumlah tetamu yang akan dijemput supaya anda dapat membuat anggaran bajet bagi makanan dan goodies.
Bagi kenalan anda pula, tidak perlulah jemput rakan-rakan terlalu ramai. Cukup sekadar anda menjemput kenalan yang betul-betul rapat untuk menghadiri majlis anda. Jangan risau jika ada yang berkecil hati apabila anda tidak menjemput mereka, maklumkan sahaja majlis yang dijalankan adalah secara sederhana atau kecil-kecilan sahaja. Mudah kan?
2. Senaraikan Semua Perbelanjaan.
Membazir itu amalan syaitan, sebolehnya elakkan daripada melakukan sebarang pembaziran dalam setiap perkara yang dilakukan. Rajin-rajinkan diri mencatat setiap perbelanjaan yang bakal dikeluarkan. Senaraikan semua kos yang terlibat seperti catering, pelamin, baju pengantin, goodies, kad jemputan, khemah, barang hantaran dan sebagainya.
Rajin-rajinkan diri juga untuk mencari dan survey harga pembekal, pengusaha catering dan barangan untuk majlis perkahwinan anda agar lebih berbaloi dan jimat!
Pastikan anda membaca review perkhidmatan yang diberikan oleh setiap pembekal dan pengusaha catering khususnya untuk mengelakkan daripada ditipu.

3. Buat hanya 1 majlis sahaja.
Jika anda mempunyai peruntukan besar untuk majlis perkahwinan, maka tiada halangan untuk anda jalankan majlis lebih daripada sehari pun. Namun, jika anda mempunyai bajet yang sangat terhad, sila pertimbangkan semula. Mungkin anda boleh jalankan satu majlis sahaja bagi pihak perempuan dan majlis doa selamat bagi keluarga lelaki.
Andai kata bagi meraikan kedua-dua belah pihak, kemungkinan anda dan pasangan boleh mempertimbangkan untuk berkongsi dalam satu majlis yang sama pada satu tempat sahaja.
Apa-apa pun berbincanglah terlebih dahulu antara pasangan dan keluarga masing-masing. Berterus terang keadaan sebenar yang dilalui supaya anda tidak merasakan bahawa perkahwinan itu sesuatu yang membebankan.
Perkahwinan dalam Islam sebenarnya sangat mudah, namun adat yang membataskannya hingga membuatkan manusia merasai bahawa perkahwinan itu sesuatu yang sukar.
Pada akhirnya, satu sahaja pengharapan dari kita semua agar perkahwinan yang dibina mendapat berkat daripada-Nya. InsyaAllah.
Penulis : Afifah
