Bakal pengantin bukan hanya membuat persiapan perkahwinan semata-semata sebagai langkah persediaan bagi mendirikan rumah tangga. Tetapi, persiapan ke arah menyediakan fizikal dan mental diri perlu dilakukan sehabis baik dan sepenuh hati sebelum bertukar status menjadi isteri orang.

Sebelum berkahwin, pengantin perempuan khususnya belum terikat lagi dengan suami. Masih ada peluang untuk melakukan segalanya sendiri dan melakukan aktiviti yang digemari. Selepas berkahwin, banyak masa diperuntukkan bersama pasangan. Kemungkinan kurang masa yang dapat diluangkan untuk diri sendiri. Oleh itu, gunakan peluang dan masa yang masih berbaki ini untuk melakukan 5 perkara ini.

1. Ada kerja atau income sendiri.
Pada waktu belum terikat dengan komitmen dan tanggungjawab sebagai isteri ini, gunakan masa yang ada untuk menumpukan sepenuh perhatian pada urusan kerja dan lebihkan  masa untuk mencari pendapatan sendiri. Selepas berkahwin, sekiranya pasangan meminta anda untuk memberikan sepenuh masa terhadap keluarga, anda perlu akur sepenuhnya jika keputusan tersebut membawa kebaikan buat keluarga.

2. Belajar masak.
Tidak dinafikan apabila sebelum berkahwin kebanyakan urusan dapur diserahkan sepenuhnya kepada emak di rumah. Tetapi sebelum melangkah ke kehidupan yang baru ini, apa salahnya anda cuba melatih diri untuk belajar memasak dan ambil tahu serba-serbi urusan dapur dan pengurusan rumah.

3. Diet pemakanan.
Sebelum menghitung bulan demi bulan untuk sampai pada tarikh hari pernikahan yang ditetapkan, boleh cuba untuk melakukan diet pemakanan dengan cara yang sihat. Elakkan dari memaksa diri dan melakukan diet pemakanan yang salah sehingga menyebabkan mudarat kepada diri. Boleh juga untuk daftarkan diri untuk mengikuti kelas diet pemakanan sebelum anda bernikah.


4. Mencantikkan diri.
Kalau selama ini anda lebih selesa untuk tidak berhias dan hanya mengenakan wajah yang polos tanpa sebarang make-up, mulakan pada hari ini untuk anda belajar mencantikkan diri.
Bukan mahukan anda berubah secara 100%. Tetapi cukup sekadar anda mengenakan make-up yang asas untuk menaikkan seri wajah. Oh ya, boleh cuba juga untuk pergi ke spa bagi memanjakan diri.

5. Belajar duduk berasingan dan sendiri.
Cubalah cara ini sekiranya anda tidak pernah berjauhan dengan keluarga. Cuba untuk membuat keputusan untuk tinggal di rumah sewa dan belajar untuk hidup sendiri. Mungkin sebelum ini segala kemudahan disediakan di depan mata, kali ini cuba untuk hidup berdikari tanpa ada keluarga di sisi sebagai persiapan selepas berkahwin nanti. Secara tidak langsung, anda akan belajar cara untuk menguruskan diri dan membuat keputusan tanpa mengharapkan bantuan orang lain.

Selamat mencuba ya!

Penulis : Afifah