Pengurusan kewangan sangatlah penting dan perlu diambil serius tanpa mengira  pasangan baru bercadang untuk mendirikan rumah tangga, baru sahaja atau sudah lama mendirikan rumah tangga.


Hakikat sebenarnya apabila telah mendirikan rumah tangga ini, lebih banyak duit yang diperlukan bagi memastikan kelangsungan hidup berjalan seperti biasa. Pertambahan ahli keluarga juga memberi kesan kepada bajet bulanan setiap pasangan yang dahulunya hanya hidup berdua, mungkin bertambah kepada tiga, empat dan seterusnya, susulan kehadiran anak dalam rumah tangga.

Berikut adalah tip untuk mengekalkan bajet dan berjimat selepas berkahwin yang anda dan pasangan boleh amalkan. Tak dapat membantu banyak, sekurang-kurangnya dapat membantu anda dan pasangan menguruskan kewangan dengan lebih baik dan tersusun.


1. Bincang berdua dengan pasangan.
Apabila melibatkan kewangan sepatutnya kedua-dua pasangan harus berganding bahu dan bekerjasama dalam memastikan tahap kewangan keluarga dalam keadaan sihat. Bukan hanya memberi beban kepada sebelah pihak sahaja.


2. Senaraikan perbelanjaan bulanan.
Bab perbelanjaan bulanan pastinya terdapat perbelanjaan yang tidak boleh dipotong dan perlu dibayar mengikut waktunya. Contohnya, bayaran sewa rumah, kereta, upah pengasuh anak, bil-bil api dan air dan sebagainya. Sebaiknya, senaraikan semua perbelanjaan supaya tidak ada perbelanjaan yang terlepas pandang setiap bulan. 

3. Kurangkan makan di luar.
Apabila membuat keputusan untuk memasak sendiri di rumah dan membawa bekal makanan ke tempat kerja, anda dapat menjimatkan hampir 70% perbelanjaan anda dan pasangan berbanding makan di luar. Pastinya kebersihan lebih terjamin. Cuma sedikit pengorbanan dari segi masa yang harus diberikan dalam penyediaan makanan tersebut. Justeru, pasangan perlu bekerjasama dalam menguruskan hal rumah tangga ini.


4. Kurangkan pergi ke tempat-tempat berbayar.
Tidak dinafikan sekali sekala anda dan pasangan perlukan hiburan atau tempat untuk meluangkan masa bersama-sama melakukan aktiviti keluarga. Elakkan daripada memilih dan pergi ke tempat yang memerlukan aktiviti yang berbayar contohnya seperti taman tema air.


5. Potong perbelanjaan yang tidak sepatutnya.
Tanpa sedar, sebenarnya ada perbelanjaan yang dibayar setiap bulan tetapi pada hakikatnya perkara tersebut tidak menjadi keperluan. Contohnya, langganan siaran astro. Setiap bulan bil astro dibayar, tetapi sebenarnya anda dan pasangan tidak ada masa pun untuk menonton TV.

Cuba dahulu ya untuk menyemak dan membaiki 5 perkara ini sekiranya anda dan pasangan serius ingin menyelamatkan kewangan keluarga anda. Tiada apa yang mustahil sekiranya anda melakukannya sekarang, Semoga segala usaha kecil yang anda dan pasangan lakukan memberi kesan yang positif dan membawa seribu satu kebaikan buat anda sekeluarga.

Selamat mencuba ya!

Penulis : Afifah