Kejadian penculikan semakin menjadi-jadi tanpa mengira peringkat umur pada zaman sekarang. Hatta yang telah berusia pun menjadi mangsa penculikan dengan pelbagai motif yang sukar dijangkau pada pemikiran normal manusia. Artikel kali ini, admin akan kongsikan dengan anda tip untuk elakkan penculikan.

1.Tidak Mendekati Individu yang Tidak Dikenali
Jika terdapat individu yang tidak dikenali mendekati anda ketika anda sendirian, cepat bergerak atau larikan diri ke ruangan yang ramai manusia di sekeliling anda. Walaupun mungkin untuk bertanya soalan, bergerak ke ruangan yang lebih ramai terlebih dahulu.
2.Tidak Membuka Pintu Pada Orang yang Tidak Dikenali
Buat anda yang mungkin didatangi oleh individu yang tidak dikenali di rumah, pastikan anda tidak sewenang-wenangnya membuka pintu pagar. Bercakap dari jarak yang agak jauh dan jangan sesekali buka pintu pada mereka.
3.Tidak Mendedahkan Identiti Diri pada Individu yang Tidak Dikenali
Jika anda didatangi individu yang tidak dikenali dan bertanyakan nama atau identiti anda, pastikan anda tidak mendedahkannya. Anda boleh sahaja menyamar dengan pelbagai nama dan pelbagai alasan dan dapatkan tujuan atau niatnya untuk bertemu anda.

4.Tidak Mendedahkan Kawasan Anda Berada di Media Sosial
Elakkan daripada mendedahkan lokasi keberadaan anda di media sosial. Kita tidak pasti siapa yang mempunyai niat tidak baik pada kita. Boleh jadi mereka sentiasa memerhatikan kita melalui pelbagai medium.
5.Tidak Berada di Tempat Sunyi Sendirian
Elakkan daripada bersendirian di tempat sunyi. Pastikan jika kawasan parking kereta anda agak sunyi, anda parking berhampiran cctv. Jika anda jogging sendirian, anda jogging dekat dengan kelompok orang ramai. Sebolehnya usahalah untuk berada di kawasan yang hampir dengan orang ramai jika anda bersendirian.
6.Jika Tinggal Seorang Diri, Pastikan Sentiasa Berhubung dengan Individu Terdekat.
Buat mereka yang tinggal sendirian di rumah, pastikan anda berhubung atau maklumkan kepada jiran yang anda percayai supaya mereka lebih alert jika terdapat perkara yang mencurigakan. Jika tiada jiran yang dapat membantu, pastikan anda sentiasa laporkan keberadaan dan keadaan semasa anda pada keluarga atau rakan rapat terdekat sebagai langkah keselamatan.
7.Alert dengan Persekitaran
Jika anda dapati terdapat perkara yang mencurigakan seperti orang sentiasa memerhatikan pergerakan anda atau ada kesan-kesan rumah anda diceroboh dan lain-lain, cepat-cepat maklumkan pada pihak polis atau individu yang terdekat untuk segera membantu anda.
8.Pastikan Anda Maklumkan Maklumat Kenderaan Awam pada Ahli Keluarga
Bagi mereka yang sering menaiki kenderaan awam seperti teksi, grab, bas dan lain-lain, pastikan anda sentiasa maklumkan maklumat nombor plat dan pemandu pada pasangan atau ahli keluarga anda. Jika tiada sesiapa yang boleh dihubungi, anda boleh sahaja berpura-pura bercakap dengan jelas di telefon dengan menyebut maklumat detail kenderaan tersebut sehingga pemandu tersebut dengar.
Semoga tip yang diberikan ini dapat membantu anda mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah culik. Berhati-hatilah walau di mana sekalipun anda berada. Semoga kita sentiasa dipelihara daripada segala kejahatan niat manusia.
Penulis : Sobiroh
