Biasa kita dengar “Aku dah lama kenal dia, dah tau semua baik buruk.”, “Dah lama kami kenal, aku yakin ni mesti jodoh aku.”, “Baru lagi kenal bila-bila pun boleh putus, aku dah lama ni lainlah. Tak berani nak tinggal punya..”. Ha, macam-macam respon kita boleh dengar kalau bercakap tentang tempoh perkenalan ni. Ada yang rasa kenal lama dah selamat, baru kenal hubungan tak stabil, kenal lama confirm jadi jodoh dan macam-macam lagi. Tahukah anda, sebenarnya tempoh perkenalan tidak menjamin apa-apa?

- Hati Manusia Sentiasa Berbolak-Balik
Hati manusia ini tidak tetap, sentiasa berbolak balik dan ada sahaja kerisauan atau perhitungan dalam dirinya. Maka tidak hairanlah bila kita dengar bercinta 10 tahun, 15 kali putus dan sambung semula. Bercinta hampir 15 tahun akhirnya memilih orang lain sebagai pasangan hidup dan sebagainya. Jadi, tiada jaminan yang lama berkenalan itu dapat menentukan jodoh antara pasangan.
- Sentiasa ada Ujian dalam Perhubungan
Apabila kita berada dalam sebuah hubungan sudah pasti ada ujiannya. Jika lagi panjang tempoh berkenalan atau bercinta, lagi panjanglah tempoh ujian yang dilalui sementara nak berkahwin. Selagi mana belum berkahwin, selagi itulah dia bukan jodoh kita. Maka pelbagai ujian yang mendatang tidak mustahil ada ketikanya melemahkan lagi ikatan perhubungan sehingga akhirnya terlerai begitu sahaja. Tiada sebarang jaminan yang membuatkan kita atau pasangan kekal kuat untuk mempertahankannya dalam tempoh masa yang lebih lama lagi.

- Kita Tidak Mampu Mengawal Diri Pasangan
Jika kita yakin bahawa diri kita seorang yang setia dan kuat memperjuangkan hubungan yang dibina, belum tentu lagi pasangan seyakin diri kita. Sekuat mana sekalipun kita berjuang, andai pasangan memilih untuk pergi kita tetap tidak dapat mengawalnya lagi. Jika si dia menyatakan hilang rasa cinta pada kita, kita juga tidak dapat memaksanya untuk terus menerima kita.
- Hanya Berada dalam ‘Penipuan’
Banyaknya pasangan yang kekal lama dalam perhubungan memilih untuk menutup segala kekurangan dan kelemahan pasangannya. Mereka memilih untuk melihat apa yang ingin dilihat. Maka, jadilah mereka individu yang menipu diri sendiri. Di saat semakin kelihatan panas baran dan sikap negatif pasangan, mereka memilih untuk meneruskan hubungan hanya kerana ‘sudah lama bercinta’.
- Jodoh adalah Ketentuan Allah.
Kita sebagai manusia berhak berusaha mengikut panduan yang telah digariskan oleh Allah s.w.t, namun dalam menentukan adakah dia jodoh kita atau tak tiada sebarang jaminan selagi mana belum benar-benar diijabkabulkan. Maka, berusahalah halalkan si dia tanpa menghitung-hitung lagi masa kerana tiada jaminan pada tempoh masa anda mengenali si dia. Jika Allah mentakdirkan dia untukmu, pasti dipermudahkan perjalanan kalian untuk diijabkabulkan.
Dalam perhubungan sama ada jangka masa pendek atau panjang, tiada apa yang menjamin pasangan tersebut adalah jodoh kita. Hanya Allah yang mengatur dan mengetahui yang terbaik buat kita semua. Jadi, jangan dilengah-lengahkan perkara yang baik kerana bimbang mengumpul dosa pula. Halalkan hubungan anda jika itu tujuan utama anda bersama si dia.
Penulis : Sobiroh
