Mungkin anda pernah dengar pesan orang tua-tua, fasa bertunang merupakan fasa yang paling banyak ujian. Hakikat sebenarnya pada fasa apa sekalipun ada ujiannya tersendiri. Bagi yang belum bertemu pasangan akan rasa diuji dengan kesukaran bertemu pasangan, yang sudah bertunang mungkin perlu bertarung dengan nafsu dan ajakan syaitan ke arah yang buruk dan yang sudah berkahwin pula dengan pelbagai ujiannya yang tersendiri. Adakah kita boleh lari daripada diuji? Di sini kami menjawab persoalan-persoalan anda melalui ayat-ayat cinta daripada Allah s.w.t.

1. “Dan segala nikmat yang ada padamu (datangnya) dari Allah, kemudian apabila kamu ditimpa kesengsaraan, maka kepada-Nyalah kamu meminta pertolongan.”[An-Nahl/16: 53]
Dalam ayat ini Allah terlebih dahulu nyatakan bahawa di dunia ini Allah telah titipkan nikmat dan ujian buat semua manusia. Maka tidak hairanlah jika kita sentiasa rasa hidup ini dikelilingi ujian, kerana itu telah disebutkan Allah dengan nyata. Cuma kita perlu hadapinya dengan kembali mendapatkan bantuan daripadaNya. Namun jangan dilupa, bukan ujian sahaja pemberianNya, di samping setiap ujian mendatang terselit pelbagai nikmat yang mungkin ramai manusia lupakan.
2. “Sungguh, Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), karena itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat. Sungguh, Kami telah menunjukkan kepadanya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kufur.” [Al-Insaan/76:2-3]
Dalam setiap perjalanan hidup ini, Allah sentiasa sediakan panduan awal untuk manusia ikuti. Walau sebesar mana ujian yang datang, gunakanlah segala nikmat pemberianNya untuk menghadapinya dengan baik. Allah kurniakan mata untuk melihat, telinga untuk mendengar, akal untuk berfikir dan segala nikmat untuk dimanfaatkan ke arah kebaikan. Ikutilah panduan Al-Quran dan hadith sebagai pegangan hidup agar tidak tersasar dari jalan yang benar.
3. “Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun.” [Al-Mulk/67:2]
Dunia ini medan ujian bagi yang hidup sementara menemui kematian. Di saat hiduplah manusia diuji dengan pelbagai nikmat dan kesukaran untuk Allah tingkatkan darjat dan kedudukannya. Janganlah bersedih andai diuji, kerana itu ruang untuk kita kembali mendekatiNya dalam hayat yang masih berbaki.
4. “Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada Kami.” [Al-Anbiyaa’/21:35]
Sebelum kembalinya kita kepada Sang Pencipta, jadikanlah ujian hidup yang menimpa sebagai bekalan yang mendekatkan kita padaNya. Agar setiap kesakitan menjadi pahala dan saham untuk dibawa bertemu denganNya di negeri abadi.
Justeru, hadapilah ujian dalam hidup ini pada saat kita masih bujang, sudah bertunang mahupun telah berkahwin dengan tenang kerana ujian itu hadir tanpa mengira apa pun status kita. Pada setiap fasa kehidupan pasti ada ujiannya yang tersendiri. Allah hadirkan ujian dalam hidup adalah untuk membawa kita kembali dekat padaNya, bukan untuk terus diratapi dan dipertikaikan. Semoga setiap ujian yang hadir menguatkan lagi kecintaan kita pada Sang Pemilik Cinta. Allah Yang Maha Agung.
Penulis : Sobiroh
