Hubungan yang tidak kesampaian sudah pasti menyakitkan. Tambahan pula apabila sudah sampai ke peringkat yang lebih serius menuju ke arah perkahwinan. Namun, itulah yang disebut pepatah Melayu ‘kalau jodoh tak ke mana’. Tetapi jika ditakdirkan bukan jodoh, selama mana kita menanti tetap tidak kesampaian. Walaubagaimanapun, pasti ada banyak hikmah yang tersirat di sebalik setiap perhubungan lepas yang tidak kesampaian kan? Jom sama-sama kita singkap hikmah tersebut dalam kehidupan kita.

1. Ruang untuk Memperbaiki Diri

Inilah masanya untuk kita muhasabah di manakah kesilapan dalam hubungan lepas. Walaupun mungkin kesilapan utama pada bekas pasangan, pasti ada kekurangan di pihak kita juga yang boleh dibaiki untuk masa depan agar perkara sama tidak berulang lagi. Contohnya; terlalu mempercayai pasangan.

2. Berpeluang untuk Mengenali Pelbagai Ragam Manusia

Apabila berhadapan dengan jodoh yang tidak kesampaian ni, sudah pasti mengajar kita untuk tahu ragam-ragam tertentu individu yang cepat merajuk, susah untuk berbincang, tidak menghargai, panas baran dan sebagainya. Daripada pengalaman ini dapat membantu kita untuk lebih bijak mengendalikan orang yang mungkin mempunyai sikap yang sama seperti ini. 

3. Mematangkan Diri dalam Perhubungan

Pengalaman lepas sentiasa mematangkan manusia. Mungkin dengan terputusnya hubungan lepas menjadikan kita lebih matang untuk membuat sesuatu tindakan, lebih berani menyuarakan pendapat, lebih yakin mengatakan tidak pada tempatnya dan banyak perkara yang menjadikan kita individu yang lebih bijak dan matang dalam perhubungan.

4. Berpeluang untuk Memilih yang Lebih Baik

Fasa inilah menjadi peluang kepada kita untuk memilih yang lebih baik. Boleh jadi pasangan lepas mempunyai sikap-sikap yang buatkan kita rasa tidak serasi dan negatif. Maka inilah peluang untuk kita berkenalan dengan orang baru dan pilih pasangan yang lebih baik untuk kita.

5. Lebih Berhati-hati dalam Mencari Pasangan

Disebabkan pengalaman lampau yang menyakitkan, ambillah iktibar untuk lebih berhati-hati dalam pemilihan. Pastikan kali ini pasangan yang dipilih benar-benar tidak mempunyai sikap yang sama seperti sebelumnya atau lebih teruk daripada itu. 

6. Cintai Diri Melebihi Orang Lain

Bila mana kita pernah dikecewakan, pasti kita juga telah belajar pelbagai langkah untuk move on. Salah satunya adalah self-love. Bukan sekadar self-love untuk lalui fasa move on sahaja, tetapi untuk sepanjang hayat kita perlu sayangi diri sendiri melebihi orang lain. Dari sini akan terbentuk kekuatan untuk melindungi diri daripada segala ancaman bahaya yang mendatang pada masa hadapan.

Banyak kan hikmah yang boleh kita singkapi apabila seseorang itu tidak ditakdirkan menjadi jodoh kita? Jadi, pandanglah setiap pengalaman dalam hidup ini dari sudut pandang yang positif. Barulah kita mampu menjadi individu yang lebih baik dengan mengambil iktibar daripada setiap pengalaman lalu. Semoga akan datang jodoh yang lebih baik buat kita semua. 

Penulis : Sobiroh