Pernah atau tidak anda dengar, hubungan sesama manusia ini ibarat magnet yang sentiasa menarik? Magnet yang sama kutubnya akan menolak, tetapi yang berbeza akan saling menarik. Begitulah manusia yang sentiasa berbeza dengan keunikan diri masing-masing. Saling menarik untuk didekati dan dikenali. Begitu juga dengan jodoh, ada daya penariknya yang tersendiri selain daripada perbezaan yang dimiliki oleh setiap individu-individu tertentu. Berikut adalah 7 daya penarik jodoh buat anda yang masih dalam pencarian.

Tetapkanlah niat yang baik untuk mendirikan rumah tangga. Sesungguhnya setiap amalan akan bergantung pada niat awalnya. Jika kita niatkan perkahwinan ini untuk mendekatkan lagi diri kita kepada Allah serta mendapatkan keredhaan dalam hidup, insyaa Allah anda pasti didorong kepada pasangan dan perjalanan yang sesuai dengan niat asal anda.
1. Memperbetulkan Niat.
2. Menjaga Hubungan dengan Allah.
Dalam urusan kita membina hubungan dengan makhluk, pastikan kita menjaga hubungan baik dengan Sang Pencipta makhluk terlebih dahulu. Pertingkatkan kualiti dalam amalan-amalan fardhu terutamanya, solat di awal waktu, pastikan lengkap solat dengan baik dan berjemaah jika berpeluang. Lakukan solat-solat sunat seperti solat hajat, tahajud, taubat dan istikharah sebagai amalan-amalan tambahan yang mendekatkan lagi hubungan kita dengan Allah. Jangan dilupa juga kitab suci al-Quran sebagai bahan bacaan harian dan panduan dalam kehidupan.
3. Menjaga Hubungan Baik Sesama Makhluk.
Hubungan baik sesama makhluk juga mengundang ‘aura’ positif dalam diri. Apabila kita melakukan kebaikan sesama manusia, sudah pasti ada yang mendoakan kembali kebaikan kepada kita dan berpahala kerana memberikan rasa bahagia sesama manusia. Namun, tidak dilupa juga makhluk ‘bernyawa’ yang lain termasuk haiwan dan tumbuhan sentiasa berzikir pada Allah. Andai kita berbuat kebaikan kepada makhluk-makhluk lain juga, mereka sentiasa berzikir dan mendoakan kebaikan buat kita.
4. Muhasabah atau Refleksi Diri.
Buat refleksi diri atau muhasabah setiap kekurangan dan perkara yang perlu diperbaiki oleh diri sendiri. Begitulah manusia, sentiasa ada kekurangannya yang tersendiri. Kenalpasti dan belajar untuk memperbaikinya. Hal ini pasti membantu anda menjadi individu yang lebih baik dari sebelumnya sekaligus menarik jodoh anda untuk lebih mendekat.
5. Luaskan Pergaulan
Selalunya kita sudah terbiasa dalam kelompok sendiri. Sudah tiba masanya kita keluar daripada ‘zon’ sebelum ini dan berkenalan dengan lebih ramai orang di luar sana. Mungkin juga anda boleh berkenalan melalui aktiviti kemasyarakatan di kawasan perumahan, sukarelawan, larian amal dan banyak lagi. Di sana mungkin anda bakal bertemu dengan lebih ramai individu yang boleh mendekatkan anda dengan jodoh yang sebenar.
Selain itu, media sosial dengan pelbagai ruang pencarian jodoh Muslim seperti Tilljannah.my juga boleh menjadi tempat anda berkenalan dengan ramai individu yang mungkin menepati cita rasa anda. Jadi, ambillah peluang untuk berkenalan secara lebih luas lagi di dengan medium yang lebih meyakinkan seperti portal pencarian jodoh Muslim Malaysia ini.
6. Rasional dalam Pencarian
Pastikan anda sendiri rasional dalam mencari. Tidak terlalu cerewet, tidak terlalu takut, tidak terlalu kalut atau terkejar-kejar dalam pencarian. Berkenalan terlebih dahulu dengan sesiapa yang datang dan pilihlah dengan rasional yang waras. Jangan kita membuat keputusan kerana terpaksa. Pastikan pilihan ini adalah yang benar-benar sudah dipertimbangkan dengan baik.
7. Doa dan Tawakal
Akhir sekali pastikan kita tidak putus dalam berdoa dan berharap pada bantuan Allah. Kita sebagai hamba, semampunya berusaha sahaja yang terbaik. Selebihnya adalah dengan izin dan bantuan daripada Allah jua.
