“Rezeki Allah yang Berikan Selagi Mana Berusaha. Halalkan Dahulu Si Dia” . Perkongsian Penuh Bermakna.
Apabila sebut tentang kahwin, ramai lelaki yang akan memikirkan tentang duit. Mampu atau tidak untuk menyara keluarga. Mampu atau tidak memberikan kebahagiaan kepada isteri dan anak – anak nanti.
Duit memang bukan segala – galanya. Duit bukanlah tiket utama untuk bahagia. Jika duit membuatkan orang bahagia, kenapa ramai orang yang berduit berpisah jua? Tapi jika tiada duit, banyak juga konflik berlaku dalam dunia orang ‘susah’. Bercerai – berai, anak – anak diberikan kepada orang lain atau dibiarkan membesar merata tempat. Jadi, sejauh mana kepentingan duit?
Namun, perlu difahami untuk meneruskan kehidupan memang memerlukan duit. Bukanlah terlalu banyak tetapi cukup untuk memberi nafkah dan membeli perkara wajib dalam rumah tangga. Cukup ada seorang suami yang mampu memimpin dan membentuk isteri dan anak – anak bersederhana dalam kehidupan. Pepatah ukur baju di badan sendiri sangat penting untuk kita pegang.

Apabila anda mahu berkahwin, yakinlah bahawa Allah akan memberikan kecukupan kepada anda, Allah akan berikan rezeki yang berlipat ganda. Jangan pula terlalu lurus, lepas berkahwin berhenti kerja kerana yakin Allah akan berikan rezeki melimpah. Bukan macam tu. Semuanya tetap memerlukan usaha dalam mencari rezeki.
Pernah dengar perkongsian daripada seorang lelaki yang merancang untuk berkahwin tetapi masih belum ada duit yang cukup sebagai hantaran kepada pasangan. Dalam pada merancang, dia berdoa kepada Allah swt agar dimurahkan rezeki, dia memohon kepada Allah agar Allah bantu dia dalam urusan membina masjid.
Akhirnya dia tak sangka, kemahiran membaiki kenderaan yang dia ada digunakan sepenuhnya untuk tingkatkan simpanan. Ramai orang yang dikenali meminta dia membaiki kenderaan dan akhirnya menjadi peluang untuk dia bina kerjaya sebagai mekanik.
Dia dapat kumpul duit dengan cepat dan ada juga ahli keluarga yang dengan senang hati membantu sponsor beberapa bahagian. Sekarang, dia sudah lebih 10 tahun berkahwin dan mempunyai anak. Selain itu, dia juga sudah ada bengkel sendiri, ada pekerja dan pelanggan tetap.
Siapa sangka kan? Dari tiada kepada ada. Berkat doa, Allah ilhamkan dia menjadi mekanik berjaya dan ada bisnes sendiri. Siapa kita untuk menafikan ini semua.
Yakinlah. “Rezeki Allah yang berikan selagi mana berusaha. Niat dan usaha halalkan dahulu si dia.”
Penulis : Saiful
