Sweetnya kalau berkahwin nanti dapat menjadi makmum kepada suami. Habis solat, doa sama-sama, cium tangan suami, suami cium dahi isteri. Wahhh….bestnya!
Walaupun tak dapat setiap 5 waktu, sekali sehari pun dah cukup.
Begitulah impian perkahwinan si gadis. Mendambakan rumah tangga bahagia dengan Islam sebagai paksinya.

Bagaimana impian perkahwinan anda?
Kali ini kami nak kongsikan kepada anda semua tentang kelebihan solat berjemaah dalam perkahwinan.
Buat yang belum berkahwin, bolehlah ambil sebagai kriteria pemilihan pasangan nanti, “Boleh menjadi imam di rumah”. Buat yang sudah berkahwin, mungkin artikel ini boleh dijadikan turning point untuk berubah menjadi lebih baik dan mengajak suami solat berjemaah di rumah.
Pertama, meningkatkan kemesraan.
Awal perkahwinan semuanya sweet kan, apa kata tambahkan sweet dengan letakkan syarat setiap hari sekurang-kurangnya satu waktu solat berjemaah bersama. Selepas solat, ambil peluang untuk bersalam-salaman dan bermaaf-maafan. Ikatan hati akan terbina, rasa mesra, rasa ‘dekat’ kerana hubungan dengan Pencipta pun dekat. Itu sifirnya.
Kedua, sama-sama tahu arah hidup iaitu keredhaan Allah.
Kita hidup kerana Allah swt. Kita jalani kehidupan dengan mengharap redha dariNya. Setelah berkahwin, tanggungjawab suami kepada isteri adalah memimpin, isteri pula sebagai pendamping setia suami. Sama-sama berpegang tangan dan berganding bahu untuk menuju syurga abadi.
Dengan solat berjemaah, kita tahu pasangan masih ada dalam laluan yang sama. InsyaAllah.
Ketiga, sentiasa tahu status diri dan pasangan.
Dalam solat berjemaah, suami menjadi imam, isteri menjadi makmum. Hikmahnya di sini, isteri sentiasa sedar kedudukannya adalah di belakang suami. Harus menjadi pendokong buat suami. Harus sedar bahawa biarpun mungkin gaji lebih tinggi, kedudukan lebih hebat, tapi dia tetap seorang isteri.
Suami pula, biarpun bergaji lebih rendah, anda tetap sebagai pemimpin hingga akhir hayat. Anda yang mengepalai keluarga.
Keempat, rumah disukai malaikat.
Rumah yang selalu diisi dengan ibadat seperti solat, zikir dan majlis ilmu adalah rumah yang disukai para malaikat. Apatah lagi rumah yang ada solat berjemaah. Rumah tangga menjadi tenang, aman dan harmoni kerana wujudnya keberkatan.
Manakala, syaitan pula tidak suka rumah yang ahlinya selalu mengikut perintah Allah.
Jadi, rumah bagaimana yang kita nak bina?
Ada lagi kelebihan solat berjemaah? Kongsikan bersama kami.
Moga kita semua peroleh kebaikan dan dipermudahkan segala urusan untuk membina rumah tangga muslim yang bahagia.
Penulis : Saiful
