Sebelum mendirikan rumah tangga, alangkah elok jika tinggalkan perkara -perkara yang datangkan kemudaratan. Semasa bujang mungkin kita tak berapa fikir keburukannya, apabila mahu berkahwin sangat penting untuk kita ubah demi kebaikan diri dan keluarga kelak.
Kali ini, kami akan kongsikan kepada anda 5 sebab anda perlu berhenti merokok sebelum berkahwin terutama untuk golongan lelaki.

1.Kesihatan anda sebagai ketua keluarga
Semua sudah sedia maklum bahawa bahan kimia dalam rokok sangatlah tidak bagus untuk organ sekaligus mampu merosakkan tubuh badan kita. Anda sebagai ketua keluarga harus memikirkan tentang pasangan dan anak – anak. Sekiranya anda jatuh sakit, bagaimana anda hendak memberi nafkah kepada keluarga? Adakah kita nak biarkan anak dibesarkan oleh isteri seorang diri sedangkan kita terlantar? Fikirkan.
2.Kesihatan isteri dan anak-anak
Kajian mendapati perokok sekunder iaitu orang yang menghidu asap rokok juga boleh terkesan pada paru – parunya. Adakah anda tidak kasihan pada isteri dan anak – anak anda yang masih kecil? Sekiranya isteri anda hamil, mungkin boleh memberikan kesan kepada kandungan. Memang boleh untuk tidak merokok di hadapan mereka, tapi sangat bagus jika anda tinggalkan terus rokok tersebut. Bau yang melekat pada mulut, tangan dan pakaian anda juga sangat mengganggu kehidupan mereka.
3.Membakar duit
Ada lelaki yang merokok sekurang – kurangnya 2 kotak sehari. Harga sekotak rokok bukanlah murah, lebih kurang harga 5 kilogram beras. Sebaik – baiknya duit tersebut kita gunakan untuk benda yang bermanfaat seperti beli makanan, menabung untuk percutian keluarga, bersedekah dan simpanan untuk majlis perkahwinan. Individu yang berjaya berhenti merokok pernah berkongsi bahawa dia dapat menyimpan lebih kurang RM 1,000 sebulan setelah berhenti.
4.Contoh teladan yang kurang baik
Individu yang merokok sering dilabel oleh orang luar sebagai orang yang tidak menjaga kesihatan dan bukan contoh yang baik. Bagaimana pula dengan anak anda nanti? Adakah anda membenarkan anak anda merokok ketika usia remaja?
Ayah merupakan hero anaknya, apa yang ayah buat mungkin akan diikuti anaknya. Jadi, adakah masih mahu tunjukkan contoh yang kurang baik terhadap mereka? Renungkan.
5.Pandangan agama
Merokok itu memudaratkan organ dan tubuh badan. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan sebulat suara menyatakan bahawa merokok itu haram disisi Islam. Jika pendapat mufti tak mahu didengari, pendapat orang macam mana lagi mampu memperbetulkan diri?
Penulis : Saiful
