Sebelum majlis perkahwinan, kebanyakan pasangan pasti mengikat tali pertunangan terlebih dahulu. 

Banyak yang kita baca mengenai persiapan sebelum menuju majlis perkahwinan, namun kurang mengenai persiapan sebelum majlis pertunangan. 

Dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan perkara penting yang perlu disediakan sebelum majlis bertunang. Jom baca sampai habis!

  1. Tarikh, masa & lokasi

Sama macam persiapan perkahwinan, untuk pertunangan pun perlu tetapkan tarikh bila nak buat majlis. Dah tetapkan tarikh, mestilah kena tetapkan juga waktu majlis bermula, bukan main terjah sahaja. Dan, penting juga untuk tentukan dekat mana majlis akan berlangsung, mungkin di rumah anda sendiri atau mungkin di kampung anda. Yang pasti, lagi simple majlis anda, lagi mudah dan lagi jimat. 

  1. Mas kahwin atau wang hantaran

Salah satu perkara wajib ada dalam “checklist” anda. Waktu majlis tunang ni la masa yang tepat untuk anda bincang mengenai mas kahwin atau wang hantaran yang ingin diberikan. Kebiasaannya, pasangan sudah berbincang terlebih dahulu sebelum majlis pertunangan berlangsung. Jadi, apabila pihak lelaki bertanya mengenai mas kahwin atau wang hantaran, pihak perempuan sudah ada jawapannya. Jadi, tidaklah kalut ketika majlis berlangsung. 

  1. Pelamin mini

Sesetengah orang, majlis pertunangan pun mereka nak ada pelamin. Tapi, ini semua terpulang kepada individu sama ada nak pelamin atau pun tidak. Jika, nak pelamin boleh tempah pelamin mini sahaja. Kalau nak lagi jimat, DIY sahaja pelamin sendiri. 

  1.  Warna tema

Selain tiga perkara tadi tu, warna tema pun penting untuk ditentukan sebelum majlis berlangsung. Pemilihan warna pada pelamin, busana serta hantaran antara perkara yang perlu dititikberatkan kerana akan memberikan impak positif pada pasangan yang bertunang dan tetamu yang hadir. 

  1. Jamuan makan

Jika anda membuat majlis pertunangan secara besar-besaran, anda disarankan agar mengambil katering. Tetapi, jika hanya kecil-kecilan memadai sekadar rewang bersama ahli keluarga. Apa-apa pun bergantung bajet anda juga. Asalkan jangan terlalu besar-besaran dan membazir mengalahkan majlis kahwin ya. 

  1. Wakil keluarga

Mungkin, ada yang terlepas pandang perkara ini. Pemilihan wakil keluarga yang berpengalaman dan petah bercakap juga penting agar majlis berjalan lancar dan tidak hambar. 

  1. Solekan & jurugambar

Tahukah anda, pemilihan jurusolek dan jurugambar juga amatlah penting. Pemilihan jurusolek yang bagus amat penting supaya makeup anda nampak cantik dan smooth je dalam gambar. Manakala, jurugambar pula mestilah untuk abadikan kenangan-kenangan manis anda.

Sekarang, dah tahu kan apa persiapan yang perlu dilakukan sebelum bertunang? Moga-moga perkongsian ini bermanfaat. Kami doakan agar anda dapat melalui fasa bertunang dengan jayanya! 

Penulis : Fatimah