Ajal, maut, jodoh pertemuan semua telah ditentukan oleh ALLAH SWT. Bahkan, ketika kita di dalam rahim lagi. Sebagai manusia kita perlu berusaha, redha dan bersabar atas semua yang terjadi. Tak semua yang hadir dalam kehidupan kita akan tetap selamanya bersama kita. Sampai masanya, mereka akan pergi jua. 

Bak kata pepatah zaman sekarang “Boleh jadi seseorang yang hadir dalam hidup anda hanya sebagai pengajaran untuk hidup anda”. 

Mereka yang belum mempunyai pasangan pastinya sangat menantikan kehadiran jodoh yang belum kunjung tiba. Di saat ini, pasti anda tertanya-tanya siapakah jodoh anda? Macam mana rupa si dia? Cantik kah dia? Baik kah dia? Di mana dia berada? Umur berapa? Dan pelbagai lagi persoalan yang bermain di fikiran.

Kalau yang wanita, pasti mahukan seorang lelaki yang bertanggungjawab, baik, sopan santun, stabil dan penyayang untuk dijadikan pasangan hidupnya. Begitu juga dengan lelaki, pasti mengimpikan pasangan yang terbaik. Sesiapa sahaja pasti mengimpikan seseorang yang terbaik untuk dijadikan pasangan sepanjang perjalanan hidupnya. 

Namun, tahukah anda? Jodoh adalah cerminan diri anda. 

Jika anda berasaskan peribadi yang baik, maka baik juga jodoh anda. InsyaALLAH. Begitu juga sebaliknya. Jika anda berasaskan peribadi yang tidak berapa elok, begitu juga dengan pasangan anda. 

Firman ALLAH SWT dalam surah An-Nur ayat 26:-

“(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.”

Jadi, mulai saat ini jom sama-sama perbaiki diri ke arah yang lebih baik. Moga-moga jodoh anda kelak adalah seseorang yang mampu menenangkan jiwa, mententeramkan minda dan menyejukkan mata. InsyaALLAH. 

Penulis : Fatimah