Setelah bergelar seorang isteri, anda pasti tidak tahu ataupun ragu-ragu tentang tanggungjawab antara pasangan dan terhadap ibu bapa. Selepas anda berkahwin, anda tetap perlu jalankan tanggungjawab anda sebagai seorang anak seperti biasa. Cumanya ada beberapa perkara penting yang perlu anda utamakan selepas anda menjadi seorang isteri. 

  1. MENJAGA NAMA BAIK KEDUA IBUBAPA

Apabila dah berkahwin, kita akan ada keluarga baru iaitu keluarga mentua. Sememangnya, orang akan cakap “Buatlah seperti keluarga sendiri.” Tapi saranan saya untuk awal perkahwinan, jangan tunjukkan kita terlalu selesa apabila berada bersama keluarga mentua. Seeloknya cuba untuk menjadi sopan dan baik demi menjaga nama baik ibu bapa kita. 

Apabila kita buat satu perkara yang boleh mendatangkan benda buruk kepada mereka, pasti nama ibu bapa kita akan tercalar. Kita perlu sentiasa berpegang teguh pada ajaran agama demi menjaga nama baik ibu bapa kita. Jadi, sebagai anak yang baik kita akan sentiasa mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan kita agar mempunyai benteng keimanan yang kukuh dan ampuh serta dapat mengelakkan diri daripada terjebak dan terpengaruh oleh perkara-perkara yang tidak baik. 

  1. MELAYAN KEDUA IBU BAPA DENGAN PENUH KASIH SAYANG

Kasih ibu akan membawa kita ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Selagi ibu bapa masih ada, gunakan sebaik mungkin peluang dan ruang yang ada ini untuk memberikan kebahagiaan kepada mereka. Walaupun tidak terbalas jasa dan pengorbanan, janji anda boleh dapat membahagiakan mereka meskipun anda sudah bergelar menjadi seorang isteri. 

  1. BERIKAN SOKONGAN KEWANGAN

Walaupun anda akan ada banyak komitmen selepas berkahwin tapi anda tetap boleh berikan bantuan. Biarpun sedikit, ia sudah memadai untuk membantu kedua ibu bapa anda dari segi kewangan. Sama ada dalam bayaran bil api dan air atau barang perbelanjaan dapur untuk sebulan. Selain itu juga, anda boleh sediakan dana kecemasan untuk ibu bapa anda bagi menanggung perbelanjaan di luar jangkaan seperti bil perubatan dan lain-lain bentuk kecemasan. 

  1. SELALU BERTANYA KHABAR KEDUA IBU BAPA

Setelah bergelar seorang isteri, kita mungkin menjadi lebih sibuk dan pasti kita akan terlepas pandang perkara yang kecil dan penting. Mungkin kita akan kurang berkomunikasi dengan orang tua kita. Apabila dah jarang berkomunikasi, hubungan pun akan mula menjadi renggang. Cuba ambil masa dalam 1 hari itu, 10 minit sahaja untuk tanya khabar. Ia  sudah cukup memadai untuk tidak membuatkan mereka ini risau terhadap anda.

  1. SENTIASA MENDOAKAN IBU BAPA

Sebagai seorang anak, keutamaan kita adalah untuk mendoakan kedua ibu bapa kita. Sesibuk apa pun kita, dalam setiap solat wajib untuk kita membacakan doa untuk kebaikan mereka, sebagaimana mereka sentiasa mendoakan tanpa disuruh.

Selagi masih ada mak ayah walaupun telah bergelar seorang isteri, janganlah lepaskan peluang untuk selalu bercakap dan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak. Mak ayah kita ni semakin lama semakin tua dan ini sahaja masa yang ada untuk ciptakan kenangan manis bersama ibu bapa anda.

Penulis : Izzah