Walaupun umur dah semakin meningkat, kawan-kawan dah ramai berumah tangga, janganlah kita sedih atau pertikaikan tetapi tetaplah berdoa kepada Allah supaya takdirkan diri kita ini bersama orang yang baik-baik pada masa yang tepat. Sebelum anda berpunya dan memasuki alam perkahwinan, terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan ketika masih berstatus bujang.

  1. BERBAKTI KEPADA KEDUA IBU BAPA ANDA SEBAIK MUNGKIN

Pengorbanan ibu bapa yang tidak terkira nilainya, tidaklah wajar dipandang remeh oleh anak-anak. Apabila kedua-duanya menghampiri usia lanjut, sentiasa ada peluang untuk anak-anak berbakti kepada mereka. Jangan menyesal kemudian hari apabila ibu bapa tiada lagi di sisi. Kedudukan ibu bapa di sisi Allah amatlah tinggi sehinggakan Allah meletakkan perintah berbuat baik kepada ibu bapa setelah memerintahkan hamba-Nya untuk tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu yang lain. 

  1. FOKUS KEPADA KERJAYA

Semasa anda masih bujang inilah peluang anda untuk fokus pada kerjaya yang anda impikan. Ambil masa untuk mengenali kekuatan dan kelemahan anda. Gunakan kekuatan anda dalam bidang yang diminati dan baiki kelemahan diri supaya tidak menjejaskan kerjaya anda di kemudian hari. Pastikan kerjaya yang dipilih adalah berdasarkan minat kerana peluang untuk anda berjaya dalam bidang yang diminati lebih tinggi berbanding kerjaya yang anda ceburi secara terpaksa. 

  1. BELAJAR PERKARA ASAS UNTUK BERUMAH TANGGA

Semasa bujang inilah masa yang sesuai untuk anda menimba ilmu sebanyak yang mungkin tentang hidup bekeluarga. Dari segi kawal emosi, kewangan, memasak, bagaimana untuk menguruskan rumah tangga dan sebagainya. Penting untuk anda membuat persiapan awal agar lebih bersedia menempuh alam baharu dalam hidup kelak. 

  1. KEWANGAN ATAU SIMPANAN

Jangan pernah terfikir, bila nak berkahwin baru mula menyimpan. Ketika bujang inilah sebenarnya permulaan yang baik untuk anda menyimpan kerana kurangnya komitmen berbanding setelah berkahwin. Walaupun menyimpan duit adalah satu cabaran yang semua orang susah lakukan, tetapi anda perlu disiplinkan diri untuk membuat simpanan demi masa depan. 

  1. BERDOA KEPADA ALLAH

Sebagai manusia jangan sentiasa berharap semata-mata daripada Allah untuk berikan jodoh, tetapi kita perlu berusaha untuk mendapatkannya. Hanya Allah sahaja yang boleh menentukan yang terbaik buat kita. Mungkin sesetengah daripada kita yang masih bujang ini sudah ikhtiar pelbagai cara untuk mencari peneman hidup, namun masih belum menemukan jodoh yang sesuai. 

Justeru, buat anda yang masih belum berpunya tenang-tenanglah dalam hidup dan fokuskan pada kehidupan anda ketika ini. Nikmatilah apa sahaja yang boleh dilakukan ketika anda bujang. Mungkin apabila sudah berkahwin anda bakal merindui kenangan sebegini pula. 

Penulis : Izzah