Buat bakal pengantin, pasti anda terfikir-fikir bagaimanalah kehidupan selepas kahwin nanti kan? Mungkin ada yang membayangkan pelbagai perkara yang menggembirakan terutamanya selepas berkahwin dengan tempoh honeymoon yang diimpikan. Namun, sebagai persediaan awal di sini admin ingin kongsikan dengan anda apakah fakta tentang perkahwinan yang perlu anda ketahui.

- Tidak Semuanya Selalu Indah
Selalunya dalam perkahwinan pasti kita mengharapkan kebahagiaan bersama pasangan. Namun harus diingat bahawa melayari bahtera perkahwinan ini sama juga seperti melalui kehidupan pada zaman single, pasti ada ujian hidup yang tersendiri. Malah ada juga yang ujiannya lebih berat setelah berkahwin. Cuma bezanya apabila dah berkahwin kita mempunyai peneman dalam mengharungi ujian dalam kehidupan dan ini menjadi sebahagian daripada sumber kekuatan.
- Mengenalinya Berbeza Sebelum dan Setelah Berkahwin
Mungkin sebelum berkahwin anda rasai pasangan anda adalah sempurna di mata, namun setelah berkahwin anda mungkin terfikir kenapa dia berubah. Untuk pengetahuan anda, itulah dirinya yang sebenar. Sebelum anda berkahwin dan tinggal bersamanya, pengetahuan anda agak terbatas. Namun setelah berkahwin semuanya akan kelihatan secara jelas. Jadi, belajarlah menerima baik buruk pasangan anda.
- Fasa Adjustment yang Agak Struggle
Fasa awal perkahwinan merupakan fasa yang agak struggle untuk kita menyesuaikan diri dengan kehidupan baru. Jika sebelum ini hanya uruskan diri sendiri, setelah berkahwin perlu uruskan makan pakai pasangan. Si suami pula perlu memikirkan keperluan nafkah dan lain-lain. Jika sebelum berkahwin kita hanya punyai satu keluarga namun setelah berkahwin kita akan miliki keluarga yang lebih besar. Fasa ini sangat menuntut kesabaran untuk kita membina kebiasaan baru dalam kehidupan. Insya Allah apabila sudah terbiasa, semuanya akan terasa normal dan lebih tenang.
- Memerlukan Pengorbanan
Sebelum berkahwin pasti semua perkara yang kita buat hanya fokus pada diri sendiri. Namun apabila sudah berkahwin, kita perlu pertimbangkan banyak perkara termasuklah keperluan keluarga, hati dan perasaan pasangan. Mungkin sebelum ini kita boleh berbelanja sesuka hati, namun setelah berkahwin perlu berjimat cermat dalam urusan kewangan, perlu bekerja keras untuk mencari nafkah dan bijak mencari penyelesaian jika timbulnya konflik.
.
- Pembinaan Diri yang Lebih Baik
Perkahwinan bukan sekadar membina hidup bersama pasangan, namun mengajar manusia untuk lebih matang dalam mengharungi kehidupan mereka. Fasa solo sudah berakhir, namun kini berada dalam fasa berkeluarga yang ujiannya pula berbeza dan mungkin lebih mencabar. Fasa ini bakal mendidik kita menjadi individu yang lebih baik dan matang dalam mengharungi kehidupan pada masa akan datang.
Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat yang luas serta membina persediaan dari aspek mental serta emosi bakal pengantin nanti. Ingatlah rumah tangga yang dibina merupakan amanah dan tanggungjawab kedua-dua pasangan, peliharalah ia sebaiknya walau pelbagai ombak dan badai datang menerpa.
Penulis : Sobiroh
