Buat anda yang berada dalam proses perkenalan saat ini, pastikan anda bertanya 5 perkara wajib ini sebelum membuat keputusan untuk meneruskan hubungan atau sebaliknya. Jangan terus bersetuju sahaja jika anda rasa serasi sepanjang berbual, pastikan anda memandang serius perkara-perkara di bawah ini juga. 

  1. Kewajipan Agama

Sudah pasti dalam perkahwinan kita mengharapkan hubungan tersebut membawa kita ke arah kebaikan. Jika manusia gagal menjaga hubungan dengan Sang Pencipta, bagaimana pula kemampuannya untuk menjaga hubungan dengan makhluk yang dicipta? Justeru, jangan malu atau segan untuk bertanya tentang kewajipannya dalam menunaikan solat fardhu terutamanya. 

  1. Perancangan Diri Selepas Kahwin

Dalam kehidupan ini sudah pasti setiap manusia mempunyai masa depan impian masing-masing, begitu juga dengan si dia. Bersikap terbuka dalam perbincangan dan ambil tahu impian hidupnya agar sama-sama dapat menyokong antara satu sama lain tetapi jika ia sangat bertentangan dengan nilai hidup anda hingga tidak dapat dikompromi lagi, anda bebas membuat keputusan untuk melepaskan pasangan tersebut.

  1. Tempat Tinggal Selepas Kahwin

Hal ini sangat penting ditanya lebih awal sebelum berkahwin lagi kerana bimbang timbul isu yang lebih besar jika tiba-tiba perlu tinggal bersama mentua. Jangan tunggu pasangan anda maklumkan, anda bebas bertanya untuk makluman awal. Jadi, tidak wujud isu expectation anda berbeza dengan apa yang pasangan berikan di kemudian hari. 

  1. Maklumat Keluarga

Berkenalan dengan keluarga terlebih dahulu melalui penceritaan pasangan anda. Ia juga menjadi ruang untuk anda memahami sikap pasangan anda dan bagaimana kehidupan berkeluarga mereka. Jadi, apabila berkenalan atau berkahwin kelak sudah pasti anda tidak lagi mengalami kejutan budaya jika cara hidup keluarga pasangan berbeza dengan anda. 

  1. Perancangan Kewangan

Anda wajib bertanya dengan pasangan bagaimana pengurusan kewangannya dan apakah perancangan masa hadapan setelah berkahwin. Ini untuk wanita, pastikan anda bertanya pada bakal suami anda. Kemudian, sama-sama bincangkan bagaimana untuk menstabilkan ekonomi keluarga setelah berkahwin. 

Semoga soalan-soalan yang diberikan ini dapat membantu anda membuat keputusan terbaik dalam perhubungan yang dibina. Pastikan jawapan yang diberikan berbaloi untuk anda meneruskan kehidupan bersama pasangan tersebut. Selamat mencuba!

Penulis : Sobiroh