Setiap lelaki bujang pasti mengimpikan pasangan yang dapat melengkapi dan membahagiakan hidupnya. Itulah sebabnya kenapa ramai lelaki yang mempersiapkan diri, fizikal serta mental dari awal.
Namun begitu, perkahwinan bukanlah sesuatu yang mudah. Ini kerana untuk membentuk keharmonian rumah tangga memerlukan komitmen yang besar dan kesabaran yang tinggi.
Oleh itu, setiap bakal pengantin terutamanya lelaki perlu bersedia dari pelbagai aspek dalam menghadapi cabaran hidup berumah tangga.
Pada artikel kali ini, kami kongsikan tips atau persediaan para lelaki sebelum menjadi suami. Jom baca sampai habis!

- Mempunyai tujuan dan perancangan hidup
Penting bagi lelaki mempunyai tujuan dan perancangan hidup. Ini kerana agar mereka tahu apa yang perlu mereka buat setelah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri kelak. Sebagai seorang ketua keluarga, mempunyai hala tuju dalam kehidupan berumah tangga amatlah penting. Anda perlu tahu apa yang patut dibuat dan apa yang tidak patut dibuat agar kehidupan lebih harmoni dan teratur.
- Siapkan diri dengan ilmu agama dan akidah
Ini adalah perkara yang paling penting sebelum berkahwin kerana ia adalah asas kehidupan.
- Menjaga kesihatan dengan baik
Penting bagi seorang lelaki mempunyai kesihatan yang baik supaya tidak memudaratkan pihak isteri dan keluarga yang bakal dibina dan agar tidak menjadi beban terhadap pihak keluarga selepas berkahwin.
- Mengajar diri untuk memahami wanita
Selain pernyataan di atas, seorang lelaki juga perlu belajar untuk memahami wanita yakni isterinya kelak. Banyakkan membaca buku untuk membina pengetahuan agar menjadi suami yang terbaik. Sebagai seorang ketua keluarga, anda harus bijak untuk menangani apa jua situasi agar tiada pihak yang tersinggung.
- Memperbaiki kualiti solat
Jika anda ingin memperbaiki diri, jangan lupa juga untuk memperbaiki hubungan anda dengan ALLAH S.W.T. Itu sudah menjadi tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Solat itu tiang agama, maka ia menjadi asas paling penting dalam kehidupan anda. Belajar untuk solat berjemaah, solat di awal waktu dan lebih kusyuk di dalam solat.
- Menambah baik kemahiran hidup dan teknik berkomunikasi
Antara kemahiran penting dalam kehidupan adalah, kemahiran berkomunikasi. Komunikasi boleh memberikan impak negatif kepada perkahwinan jika tidak dijaga dengan baik. Selain itu, sebagai seorang lelaki anda juga perlu belajar mengenai kemahiran hidup yang lain. Antaranya adalah, kemahiran mengemas rumah, membasuh baju, baiki barang yang rosak, kemahiran kesihatan, bertukang dan banyak lagi kemahiran hidup yang lain. Semua kemahiran ini perlu sebelum anda menjadi seorang suami.
- Persiapkan diri dari segi harta dan kerjaya
Jika sebelum ini pada waktu bujang anda hanya menyediakan bajet untuk diri sendiri, tetapi tidak lagi selepas kahwin. Selepas berkahwin suami perlu menyediakan nafkah dan memenuhi keperluan asas keluarganya.
Makin anda bersedia dengan melakukan persiapan sebelum menjadi suami, makin cerah juga masa depan anda bersama pasangan yang tercinta. Moga-moga perkongsian pada kali ini bermanfaat dan anda dapat menerapkan tips ini di dalam kehidupan anda.
Penulis : Fatimah
