Taaruf dari segi bahasa adalah bermaksud “kenal” atau “berkenalan”. Perkataan “taaruf” berasal dari perkataan Arab yang bermaksud kenal. Taaruf sebelum berkahwin adalah salah satu proses perkenalan. Semasa proses taaruf, anda dituntut untuk mengenali siapa bakal pasangan yang bakal anda kahwini itu. Tujuan bertaaruf adalah untuk perkenalan yang lebih mendalam serta lebih memahami hati budi pasangan dan keluarga bakal pasangan.

Jadi, apa je tips yang anda boleh buat semasa taaruf? Jom baca sampai habis!
5 Pesanan Untuk Anda Yang Nak Bertaaruf:-
- Wujudkan pertemuan kali pertama
Pertemuan merupakan proses yang penting semasa taaruf. Ini kerana pada masa inilah, anda dapat melihat calon pasangan anda. Pertemuan juga seelok-eloknya diaturkan diantara kedua-dua belah keluarga.
Jika perkenalan masih terlalu awal, boleh minta kenalan rapat yang dipercayai untuk menemani anda berjumpa dengan calon taaruf anda. Pastikan anda bertemu calon di tempat yang terbuka dan ramai orang agar terhindar daripada fitnah.
- Bertanya soalan sebanyak dan sedalam yang boleh
Ketika dalam proses perkenalan, anda sangat digalakkan untuk bertanya soalan sebanyak dan sedalam yang boleh. Lagi banyak soalan yang anda tanya, lagi banyak maklumat yang anda perolehi.

- Guna orang tengah (jika perlu)
Kebiasaannya, proses perkenalan boleh dilakukan tanpa orang tengah atau wakil. Namun, penggunaan orang tengah atau wakil amat digalakkan untuk mengelakkan fitnah.
- Jangan terlalu lama dan jangan pula terlalu singkat
Dalam bertaaruf, seeloknya jangan terlalu lama dan jangan pula terlalu singkat. Gunakan dan manfaatkan masa sebaiknya.
- Istikharah
Setelah berusaha untuk bertaaruf dan sebagainya, kembali pada ALLAH. Mengadu pada ALLAH SWT. Kita merancang, tapi ALLAH juga merancang dan ALLAH perancang yang sebaik-baiknya. Jadi, berdoa. Minta supaya diberikan petunjuk dan hidayah yang sebaiknya.
Penulis : Fatimah
