“Sedangkan lidah lagi tergigit, ini kan pula suami isteri”. Petikan lagu dari Arwah Tan Sri P. Ramlee ini jelas menunjukkan lumrah buat suami isteri itu adakalanya tertawa, gembira dan bergaduh. Tetapi, andai terlalu kerap sangat bergaduh berhati-hatilah untuk tidak membuatkan salah seorang daripada pasangan terguris hati.

Perkongsian artikel pada kali ini berkenaan 4 cara bergaduh dengan suami isteri tetapi masih saling menghormati antara satu sama lain.
1. Jangan sampai mengungkit kesilapan yang pasangan pernah lakukan.
Perkara pertama yang kami ingin kongsikan kepada anda dan pasangan untuk tidak sekali-kali mengungkit kesilapan yang pasangan lakukan. Jangan terkejut ya, waktu bergaduh ini lah bermacam-macam isu akan timbul walaupun isu tersebut mungkin tidak pernah dibangkitkan langsung sebelum ini. Boleh jadi juga, ada juga perkara yang dipendam selama ini terluah segalanya kepada pasangan. Rasa kecewa dan marah yang selama ini dipendam, dihamburkan kepada pasangan. Oleh itu, jaga tutur kata dan fikir sedalam-dalamnya sebelum berkata-kata.
2. Jangan sampai mengungkit kebaikan yang telah dibuat.
Kadangkala niat di hati sekdar mahu menyedarkan pasangan tentang kebaikan dan segala usaha yang telah dilakukan dalam rumah tangga. Namun, tanpa sedar seolah-oleh sekadar ingin menunjukkan yang hanya diri sendiri sahaja yang berusaha keras memperjuangkan rumah tangga yang selama ini dibina. Tidak langsung menyebut tentang kebaikan yang pasangan telah lakukan.

3. Jangan sampai memperlekehkan diri pasangan dan keluarganya.
Pantang sekali apabila bergaduh ada antara suami atau isteri yang memperkecilkan diri pasangannya dan juga keluarganya. Isu akan menjadi sangat rumit apabila melibatkan keluarga dalam pergaduhan yang berlaku. Walau bergaduh macam mana sekali pun, jangan langsung memetik nama-nama ahli keluarga. Ia seolah-olah pasangan cuba untuk memperlekehkan pasangan dan juga keluarga.
4. Jangan diam berhari-hari.
Berapakah tempoh yang sepatutnya untuk pasangan mendiamkan diri? Sebenarnya tiada tempoh masa yang khusus. Sebaiknya, lagi cepat pergaduhan itu dileraikan dan diselesaikan, lagi baik. Pergaduhan yang berpanjangan boleh membuatkan pasangan berasa tawar hati. Mula lah bermacam-macam andaian akan dibuat.
Pasangan tidak lagi sayang lah. Pasangan tidak ada effort langsung untuk memujuk lah. Walhal, sebenarnya tidak perlu menunggu siapa yang patut memulakan langkah untuk berbaik semula. Tanggungjawab bersama untuk menjernihkan keadaan.
5. Jangan sampai mengabaikan rutin harian.
Contohnya, sebelum ini dalam rumah tangga memang sudah menjadi tugas isteri dalam menyediakan hidangan masakan buat keluarga. Oleh yang demikian, apabila berlaku pergaduhan tidak sepatutnya isteri mengabaikan tugas tersebut.
Sama-sama mempraktiskan cara ini ya untuk keharmonian rumah tangga supaya kekal lama dan bahagia. Selamat mencuba!
Penulis : Afifah
