Drama “Aku Tanpa Cintamu” yang mendapat sambutan tinggi oleh penonton dan mereka juga mendapat banyak pengajaran daripada drama ini. Drama ini dibintangi oleh pelakon utama Zamarul Hisham yang membawa watak (Adam) dan juga Bella Astilah sebagai (Nuha).

Sebenarnya, apa yang diceritakan dalam drama ini juga berlaku dalam dunia realiti cumanya kita tidak tahu. Tetapi, drama ini dapat membuka mata dan fikiran kita dalam memilih pasangan hidup.

  1. JANGAN TERBURU-BURU PILIH PASANGAN. 

Memilih pasangan bukanlah satu perkara yang boleh dibuat main. Mungkin anda mengenal sikap luaran yang baik, sopan, mulut manis tetapi anda sebenarnya belum kenal secara mendalam. Lagi-lagi kenal dalam masa yang sangat singkat, terus sahaja buat keputusan. Anda bukan memilih pasangan untuk bercinta sementara, tetapi anda pilih pasangan ini untuk hidup selamanya dengan anda. Apabila anda membuat keputusan terburu-buru, anda seperti tidak matang dengan mengikut rasa cinta sahaja. Mungkin boleh ambil masa lebih kurang 6 bulan hingga ke 1 tahun untuk lebih mengenali pasangan tersebut.

  1. MINTA PANDANGAN DAN BERBINCANG DENGAN IBUBAPA

Pandangan orang tua ini lebih relevan dan mereka lebih mengetahui apa yang lebih baik untuk kita. Mereka berpengalaman dalam mengenal manusia dan mereka juga berpengalaman dalam perhubungan. Semestinya jawapan yang mereka berikan dan membuat pilihan untuk anda adalah terbaik walaupun akan menyakitkan dan membuat anda sedih. Cuba dan berbincang dengan ibu bapa sama ada pilihan anda ini adalah terbaik atau tidak. Cara ini untuk mengelakkan anda menyesal pada satu hari nanti. 

  1. UTAMAKAN PENDIDIKAN DAN BIJAK CARI DUIT.

Selagi umur anda masih muda dan mempunyai masa yang panjang tolong utamakan pendidikan anda. Belajar la setinggi yang boleh untuk capai matlamat dalam kerjaya serta membuat ibu bapa anda bangga. Kalau anda tidak mampu untuk belajar tinggi, anda perlu bijak dalam mencari duit. Cuba dalam pelbagai bidang pekerjaan dan juga belajar dalam bisnes. Ini demi masa depan anda dan ianya juga sebagai keselamatan diri sebagai seorang wanita jika berlaku perkara yang tidak diingini. Sekurang-kurangnya, kalau anda telah menjadi seorang isteri tetapi suami tidak mengizinkan anda untuk bekerja, anda perlu ada duit simpanan untuk anda sendiri. Sebagai pelindung diri anda pada satu hari nanti.

  1. JANGAN KORBANKAN DIRI BERTAHAN DENGAN LELAKI YANG TAK MENGHARGAI

Jangan hanya disebabkan sayang anda sanggup untuk bertahan dengan lelaki yang tidak pernah menghargai anda. Jangan sesekali bodohkan diri anda untuk lelaki yang tidak berguna. Bukan cara dengan memukul, maki hamun kita tanda dia sayang. Itu tanda mereka hanya ingin melepaskan marah. Sayangi diri anda, letak harga diri anda bahawa anda patut dihargai bukan untuk diseksa. Sifat baran lelaki bukan sepatutnya dilepaskan kepada isteri dan mereka perlu berusaha untuk kawal. Sekali sahaja lelaki itu sentuh dan mendera anda, mereka tidak layak untuk anda. Anda berhak untuk mencari kebahagiaan sendiri dan jauhi daripada lelaki baran. 

  1. BELAJAR DAN AMBIL TAHU TENTANG HUKUM

Sebelum anda berkahwin, anda pasti diwajibkan untuk menghadiri kursus pra perkahwinan. Kursus kahwin ini bukanlah disediakan untuk suka-suka, kursus ini disediakan untuk anda menimba ilmu pengetahuan yang lebih setelah berkahwin. Anda akan belajar pelbagai hukum, sifat suami isteri, dan macam-macam lagi. Apabila anda telah mengetahui tentang hukum, anda boleh jadikan ini sebagai penyelamat anda. Siapa sahaja yang melanggar hukum Tuhan, mereka akan mendapat dosa yang besar serta hukuman yang teruk di akhirat mahupun di dunia. Para isteri yang telah didera oleh suami, tetapi ingin lepas daripada seksaan suami dan hanya menunggu perkataan cerai untuk dilafaz oleh suami. Tahukah anda? Anda boleh menuntut fasakh. Maksud fasakh adalah melepaskan ikatan perkahwinan antara suami dan isteri melalui kuasa yang ada pada hakim atau kadi, atas sebab-sebab dan alasan-alasan yang dibenarkan oleh syarak. Cuba dan belajar dengan lebih dalam tentang fasakh ini dan ia boleh membantu anda untuk lepas daripada seksaan suami. 

Jangan sesekali sakiti diri kita hanya untuk orang yang kita sayang. Belajar sayangi diri sendiri dahulu, selepas itu baru belajar sayangi orang lain. Kalau mereka sayang pada kita, mereka takkan seksa kita. Mereka mesti tidak akan suka melihat kita sakit. 

Penulis : Izzah