Perasan tak, kenapa orang dulu-dulu mampu bertahan dalam perkahwinan, tetapi orang zaman sekarang lafaz perceraian sangat mudah dilafazkan?

Saban hari, jika melihat kepada bilangan pasangan yang memfailkan perceraian jumlahnya sangat ramai dan trend ini tidak nampak ada tanda-tanda akan menurun dari tahun ke tahun. Banyak faktor yang menjadi punca kepada jalan perpisahan itu berlaku. Tuan empunya badan dan pasangan lebih mengetahui tentang punca permasalahan yang sebenar.

5 rahsia orang dulu-dulu mampu bertahan lama dalam rumah tangga:


1. Tahu tanggungjawab.
Bukan mahu menuding jari kepada pasangan zaman sekarang tidak tahu tentang tanggungjawab, tetapi jika nak dibandingkan dengan orang dahulu, kebanyakan mereka sangat berhati-hati dan  sehabis baik menjalankan amanah sebagai seorang suami dan isteri dalam institusi rumah tangga. Walaupun pada zahirnya, orang dulu-dulu tidaklah hidup dalam keadaan yang mewah, tetapi atas dasar tolak ansur antara pasangan, mereka melayari bahtera perkahwinan itu dengan saling memahami tentang tanggungjawab masing-masing.

2. Saling memerlukan dan bergantung harap.

Kebanyakan orang dulu-dulu, isteri memainkan peranan dalam menjaga dan membesarkan anak-anak. Manakala suami pula memainkan peranan dalam mencari rezeki buat keluarga. Pergantungan antara satu sama lain ini membuatkan mereka saling memerlukan dalam membesarkan anak dan mempertahankan keluarga.

3. Menjaga nama baik keluarga.

Orang dulu-dulu penuh adat dan sopannya. Mereka tidak mahu nama keluarga tercemar dan malu sekiranya berlaku perpisahan. Mereka sanggup bertahan dan cuba menyelesaikan setiap masalah yang berlaku dalam keadaan baik. Mungkin disebabkan kesusahan yang dijalani bersama, membuatkan pasangan lebih matang dalam membuat keputusan.


4. Tiada campur tangan ahli keluarga.

Orang dulu-dulu demi menjaga maruah pasangan, segala masalah sama ada masalah kecil atau besar hanya diselesaikan secara bersama tanpa ada campur tangan ibu bapa atau keluarga kedua-dua belah pihak. 

5. Perkahwinan atas pilihan keluarga.
Kebanyakan perkahwinan orang dulu-dulu bukan atas dasar cinta, perkahwinan yang dibina atas pilihan keluarga. Ibu bapa mereka yang lebih banyak makan garam dan lebih tahu apa yang terbaik buat anak-anak mereka. Secara tidak langsung sebenarnya pasangan dulu-dulu tidak mudah rasa bosan kerana masih saling belajar dan mengenali antara satu sama lain.

Ya, memang tidak boleh nak samakan cara orang dulu-dulu dengan orang pada zaman sekarang. Tetapi, apa yang boleh kita belajar dari orang dulu-dulu, rasa tanggungjawab yang diamanahkan sebaiknya dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Semoga Allah menjaga pasangan yang kita miliki ini sehingga sampai syurga. InsyaAllah.

Penulis : Afifah