Berhenti sekejap, cuba kira semula berapa kali agaknya anda dan pasangan meluangkan masa untuk bercuti bersama-sama? Ingat kembali semenjak hari pertama berkahwin, adakah anda dan pasangan jadikan pergi bercuti itu satu aktiviti yang dilakukan secara bersama?

Tanpa sedar, hari berganti hari, masa tetap berjalan dengan begitu pantas. Sebenarnya banyak peluang masa bersama pasangan yang berlalu begitu sahaja tanpa kita menggunakannya dengan sehabis baik.

Ramai yang tidak tahu, sebenarnya percutian bersama pasangan akan membuatkan hubungan rumah tangga bertambah erat. Apabila hubungan bertambah erat, semakin bertambah cinta dan sayang kita terhadap pasangan.

  1. Lebih mengenali pasangan.
    Alam perkahwinan merupakan tempoh perkenalan yang sangat panjang. Perkenalan yang mengambil masa bertahun-tahun sebelum berkahwin pun belum tentu anda akan dapat mengenali pasangan sepenuhnya. Pastinya ada perkara yang kita masih tidak ketahui tentang diri pasangan kita.

    Contohnya, kemungkinan selama ini kita menyangka pasangan kita bukanlah seorang yang cerewet, tetapi apabila bercuti berdua bersamanya, kita mungkin akan nampak dari sisi yang lain sebenarnya pasangan kita agak cerewet tentang soal pemakanan.
  2. Terkenang tentang kenangan bersama semasa percutian.
    Apabila bercuti ini, pastinya banyak kenangan yang bakal tercipta sama ada kenangan manis mahupun kenangan pahit. Oleh itu, anda dan pasangan boleh cuba untuk flashback kenangan yang pernah dilalui bersama. Peristiwa itu tidak hanya peristiwa yang indah-indah sahaja, pastinya ada peristiwa yang pahit yang tidak mungkin anda dan pasangan dapat lupakan. Contohnya, mungkin anda dan pasangan pernah merasai pengalaman tertinggal kapal terbang semasa di lapangan terbang kan?

3. Boleh berbincang dan bersembang dari hati ke hati.
Apabila sudah dapat masa berdua-duaan begini, jauh dari anak-anak, keluarga dan kerja, mulakan sesi untuk bersembang dari hati ke hati. Mungkin juga saat ini boleh digunakan untuk meluahkan apa yang terpendam di hati sepanjang tempoh perkahwinan. Setelah segalanya jelas tentang perasaan masing-masing, boleh set kembali untuk membina impian baru secara bersama. Selitkan juga jika ada tempat percutian lain yang mungkin diimpikan anda bersama pasangan selepas ini.

Apa tunggu lagi, boleh terus bincang dengan pasangan sekarang ya untuk rancang percutian bersama.

Penulis : Afifah