Perasan atau tidak, sebenarnya zaman sekarang trend wanita yang berpendidikan tinggi dan berkerjaya lebih sukar dan lewat untuk mendapatkan jodoh. Kebanyakan daripada mereka berkahwin pada usia yang lewat. Tidak dinafikan juga ada yang menggunakan istilah ‘jodoh berat’ bagi menunjukkan situasi jodoh sukar mendekat.
Ada antara wanita ini yang mengakhiri zaman bujang pada usia pertengahan 30-an menghampiri usia 40 tahun. Jangan terkejut ya, ada juga yang membuat keputusan untuk tidak meletakkan komitmen terhadap lelaki melalui perkahwinan atas status diri yang lebih berpendidikan dan menganggap lebih berjaya dari seorang yang bergelar lelaki.

1. Ada citarasa tersendiri.
Mereka yang berpendidikan tinggi ini pastinya memiliki citarasa dan kriteria calon pasangan idaman. Bukannya calang-calang orang yang boleh berdampingan dengan mereka. Mereka akan menilai dari segi status pekerjaan, latar belakang pendidikan diri, tahap gaji dan cara pemikiran sama ada selari atau tidak untuk menjadi pasangan mereka.
2. Terlalu berdikari.
Apabila terlalu banyak perkara boleh dilakukan sendiri, mereka sudah tidak mengharapkan kehadiran seorang lelaki yang bergelar suami dalam kehidupan mereka. Kadangkala membuat keputusan sendiri lebih cepat berbanding perlu mendapatkan pendapat dan persetujuan daripada suami apabila telah berkahwin nanti.
3. Terlalu sibuk.
Antara alasan yang paling banyak diterima adalah mereka tidak sempat untuk mencari. Lagi pula nanti selepas kahwin perlu membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga. Lebih baik mereka fokus memikirkan masa depan dan mengejar impian.
4. Ada kepuasan yang masih tidak dipenuhi.
Fokus ketika ini ada yang ingin membalas jasa ibu, ayah dan keluarga terlebih dahulu yang telah banyak berkorban. Ada juga yang berimpian untuk menyambung pelajaran ke tahap yang lebih tinggi lagi.
Contohnya, ke peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD). Andai sudah berkahwin nanti, ketakutan mereka adalah tidak dapat menumpukan perhatian buat suami. Tambahan lagi, belum lagi bersedia dengan kehadiran cahaya mata.
5. Jangkaan (expectation) keluarga terlalu tinggi.
Apabila anaknya berpendidikan tinggi dan berkerjaya, pastinya keluarga terutamanya emak dan ayah juga mengharapkan calon menantu yang sempurna dan bersesuaian dengan anaknya. Segala sudut dari segi kerjaya dan latar belakang pendidikan mestilah sama taraf. Hal ini, membuatkan wanita yang berpendidikan tinggi dan berkerjaya ini menjadi serba salah dalam membuat keputusan untuk memenuhi harapan keluarga tercinta.
Apa-apa pun alasan dan sebab yang menyebabkan jodoh sukar mendekat kepada seseorang individu tersebut, jangan sesekali melawan fitrah untuk berkasih sayang. Pernikahan itu adalah sunnah Rasulullah SAW.
Dalam keadaan seseorang itu sunat untuk berkahwin, maka berkahwin itu lebih baik untuk diri seseorang daripada hidup membujang.
Semoga kita semua mendapat jalan dan petunjuk yang terbaik daripada-Nya.
Penulis : Afifah
