Restu ibu dan ayah dalam perkahwinan boleh dimaksudkan sebagai persetujuan ibu dan ayah ke atas perkahwinan tersebut. Selain itu, restu ibu ayah ini membawa keberkatan dalam rumah tangga anaknya.
Walaupun bertambah tanggungjawab berumah tangga, tanggungjawab anak ke atas ibu dan ayah janganlah dilupakan. Berbuat baik kepada ibu bapa sampai mereka tua adalah perintah Allah seperti dalam Surah Al-Isra’ ayat 23 dan 24.

Hikmah pertama adalah bersyukur kerana masih mempunyai ibu dan ayah, dan berpeluang untuk berkhidmat dengan mereka sehingga mereka tua.
Rasulullah SAW sendiri melalui hadis sahih yang mana seorang lelaki bertanya kepada baginda: “Adakah masih ada peluang untuknya berbakti kepada ibu bapanya yang sudah tiada?” Lalu Nabi Muhammad SAW menjawab: “Ya, ada empat perkara (cara), iaitu mendoakan dan memohon pengampunan untuk kedua-duanya, melunaskan wasiat mereka, memuliakan sahabat karib mereka dan menghubungkan tali silaturahim saudara-mara mereka yang tiada hubungan pertalian darah (melalui penyusuan dan perkahwinan seperti ipar-duai dan anak-anaknya).”
[Riwayat Abu Daud]
Hikmah seterusnya adalah kita masih menjaga silaturrahim dengan mereka. Sekiranya mak ayah tidak bersetuju dengan perkahwinan, sudah pastikan perhubungan menjadi tegang. Pentingnya menjaga silaturrahim seperti firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa; ayat 1 yang bermaksud:
“Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu Menjaga dan Mengawasi kamu.”

Hikmah yang lain adalah redha ibu bapa ke atas pernikahan tersebut membawa keredhaan dari Allah SWT.
“Keredhaan Allah adalah bergantung dengan sebab redhanya ibu bapa.”
[Riwayat al-Tirmizi]
Setiap kali ingin menduduki peperiksaan, kita sering meminta ibu dan ayah mendoakan kejayaan kita. Doa dari ibu bapa tidak terikat dengan kejayaan peperiksaan sahaja. Mereka mendoakan anaknya (tanpa diminta) supaya ditambahkan rezeki, dimudahkan urusan harian, memohon Allah berikan kekuatan dan kesabaran dalam mengharungi ujian berumah tangga.
Dan hikmah terakhir adalah memelihara iman. Kenapa perlu berbalah dan berenggang dengan orang tua? Sedangkan pernikahan itu menyempurnakan iman.
Abu Darda’ RA berkata: Bahawa seorang lelaki datang bertanya: “Sesungguhnya aku memiliki seorang isteri akan tetapi ibu aku menyuruhku menceraikannya.” Abu Darda menjawab: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, ibu bapa adalah pintu syurga yang paling tengah. Terserah kepada kamu (seorang anak) sama ada untuk mensia-siakan pintu itu atau memeliharanya.
[Riwayat al-Tirmizi]
Banyak lagi hikmah restu ibu bapa dalam perkahwinan. Mungkin dengan doa mereka dan redha dari Allah SWT membuatkan tempoh perkahwinan berpanjangan sehingga TillJannah.
Penulis : Farah
