Bertunang adalah tanda mengikat janji untuk menjadi suami dan isteri. Ia adalah persetujuan antara pihak lelaki dan perempuan untuk mendirikan rumah tangga bersama.

Rasulullah S.A.W bersabda kepada sahabat yang ingin bertunang:

“Lihatlah perempuan itu dahulu kerana ia akan lebih mengekalkan kasih sayang antara kamu berdua.”

[Riwayat al-Tirmizi]

Bagi mereka yang ingin melangsungkan pertunangan, pertama sekali, tahniah kerana telah bertemu calon pasangan. Setelah merisik, perlulah meminang. Cincin atau sebagainya semasa meminang adalah tanda ikatan pertunangan.

Ada 5 tip bagi mereka yang ingin melangsungkan pertunangan.

1. Anda ada pilihan untuk membuat majlis pertunangan atau tidak.

Jika memilih untuk membuat majlis, jangan berlebih-lebihan sehingga membawa kepada pembaziran. Boleh juga jika memilih membuat majlis kecil-kecilan atau menyembunyikan pertunangan.

Daripada Ummu Salamah R.A yang mana Rasulullah S.A.W telah bersabda:

“Zahirkan (iklankan) pernikahan dan sembunyikan pertunangan.” 

[Riwayat al-Imam al-Dailami]

2. Tempat, tarikh dan masa.

Perlu merancang tempat, tarikh dan masa yang sesuai. Boleh pilih tarikh yang cantik seperti 2 Februari atau tarikh yang penting dalam relationship, supaya mudah ingat anniversary. Ala-ala mini wedding reception.

3. Rancang kewangan majlis.

Perlu ingat bahawa kehidupan selepas akad nikah lebih lama dari tempoh pertunangan. Rancanglah kewangan dengan baik, supaya memori majlis lebih indah tanpa stres kewangan.

4. Bincang jumlah wang hantaran dan mas kahwin sebelum bertunang.

Elak ber-‘drama’ semasa majlis. Bincang dan ada kata sepakat lebih awal.

5. Wakil keluarga.

Lantik wakil keluarga sebagai orang tengah. Seorang yang berpengalaman dan boleh berkomunikasi dengan baik agar majlis berjalan dengan lancar.

Apa-apa pun, pertunangan bukan lesen untuk berdua-dua. Belum lagi halal tau.

Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah seorang lelaki duduk berdua-duaan dengan seorang wanita yang tidak halal baginya, maka sesungguhnya orang yang ketiga yang bersama-sama mereka ialah syaitan kecuali jika bersama mereka seorang muhrim.” 

[HR Ahmad]

Penulis : Farah