Kebiasaannya, apabila masuk atau tibanya musim “cuti sekolah” pasti ramai yang akan melangsungkan majlis perkahwinan. Oleh itu, apabila kita sebut tentang majlis perkahwinan pasti ramai yang terbayangkan mengenai persiapan majlis itu sendiri. Salah satunya, persiapan mengenai barang hantaran. 

Mungkin ada yang menganggap hal hantaran ini adalah mudah, tinggal beli sahaja apa yang pasangan anda mahukan. Namun, sebenarnya ia tidaklah semudah yang anda sangka. Dalam pemilihan hantaran, anda perlu bijak dalam bab pengurusan kewangan agar tidak membazir dan barang yang dipilih untuk dijadikan hantaran. 

Artikel kali ini kami akan kongsikan tip pemilihan barang hantaran untuk semua bakal pengantin! Jom baca sampai habis.

  1. Tetapkan bajet untuk barang hantaran 

Perkara paling penting dalam soal hantaran adalah anda perlu menetapkan bajet untuk barang hantaran terlebih dahulu. Kenapa bajet ini penting? Ini kerana untuk mengelakkan anda dan pasangan terlalu teruja membeli sehingga membazir semasa membeli hantaran dan gubahan. 

  1. Tentukan jumlah dulang

Setelah anda dan pasangan telah menetapkan bajet untuk hantaran, anda dan pasangan perlu menentukan jumlah dulang hantaran yang akan diberikan. Kebiasaannya, mengikut adat Melayu tradisional bilangan dulang untuk pasangan pengantin adalah “ganjil”. Contoh, sekiranya pihak wanita ingin memberikan 7 dulang, maka pihak lelaki akan membalas lebih sedikit daripada pihak wanita. Kebiasaannya 5 dulang. 

  1. Tetapkan konsep dan tema majlis 

Antara 3 konsep yang selalu dilakukan adalah:-

  1. Konsep klasik melayu tradisional
  2. Konsep perkahwinan moden atau santai
  3. Konsep perkahwinan inggeris

Penting untuk anda menetapkan konsep dan tema majlis berserta dengan hantaran agak tidak lari dari konsep yang ditetapkan. 

  1. Senaraikan barang hantaran yang perlu dibeli 

Sebelum anda membeli-belah, senaraikan dahulu barang-barang yang ingin dibeli. Senarai ini juga merangkumi hiasan dulang untuk gubahan dan barang hantaran. Anda tiada idea untuk dulang hantaran? Jangan risau, kalau ada bajet anda boleh upah sahaja orang.

  1. Jangan lupa masukkan barangan wajib hantaran 

Antara barangan klasik dan wajib anda masukkan dalam hantaran adalah:-

  • Tepak sirih
  • Tapak cincin
  • Sepasang telekung/mushaf al-quran/sejadah
  • Kotak mas kahwin/hantaran
  • Beberapa makanan contohnya kek atau buah

Barang-barang ni telah dimasukkan dalam “list” hantaran sejak turun-temurun lagi. Ibarat kata pepatah, ianya tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. 

Apa-apa pun dalam membeli hantaran, harapnya anda tidak berlebihan sehingga terjadi pembaziran. Belilah mengikut kemampuan anda dan pasangan. Moga perkongsian tip ini dapat membantu anda sedikit sebanyak. 

Penulis : Fatimah