Pelbagai cara untuk menjemput jodoh. Antaranya, semasa zaman belajar di universiti, rakan sekerja, jiran tetangga, kenalan ibu bapa, rakan sekolah dahulu dan sebagainya. Akan tetapi, tidak semua orang itu sama. Ada yang terlampau sibuk dengan kerja, ada yang malu untuk bertindak mencari dan ada juga yang tidak ramai kenalan. Dengan peredaran zaman yang semakin canggih, segalanya boleh didapati secara atas talian. Cara ini berkemungkinan ada baik dan buruknya. Jadi, saya ingin kongsikan beberapa tip sebagai panduan bagi yang ingin menjemput jodoh secara atas talian.

- Berhati-hati dalam memberikan maklumat peribadi pada awal perkenalan.
Seperti dalam pepatah melayu, rambut sama hitam, hati lain-lain. Kadang-kadang kita lihat semua manusia mempunyai niat yang baik dalam mencari pasangan. Tambahan lagi, di dunia online tanpa sempadan. Pelbagai cara untuk mereka dapatkan maklumat peribadi seseorang. Jadi, berhati-hatilah di awal perkenalan. Jangan mudah cair dengan taburan ayat-ayat manis yang diberikan.
- Jelaskan niat hasrat hati kepada calon dengan berterus terang.
Jika anda serius ingin memperisterikan si dia, maka lakukanlah dengan cara yang baik. Berterus-terang dengan cara yang betul mengikut garis panduan yang islam ajarkan supaya hubungan yang dibina akan terjalin dengan baik. Cara yang terbaik adalah bertemu melalui walinya. Dari situ akan terzahir kematangan diri dan tahap serius anda kepadanya.

- Jadikan ibu bapa/ keluarga yang utama dalam membuat pilihan.
Mereka lebih “makan garam” kerana mereka lebih banyak pengalaman berbanding dengan kita yang baru memulakan kehidupan. Lebih baik untuk rujuk kepada mereka terlebih dahulu untuk mengelakkan diri dari ditipu dan sebagainya. Jangan sesekali belakangkan mereka walaupun mereka tidak memahami kehendak kita. Restu dari ibu bapa tersangatlah penting untuk kita kekal bahagia bersama pasangan.
- Check latar belakang si dia.
Penting untuk kita siasat latar belakang dia. Jelaskan bersama tentang latar belakang keluarga. Contohnya, berapa anggota keluarga, latar belakang pendidikan, kerjaya dan sebagainya. Dari situ kita boleh menilai bagaimana cara kehidupannya dibesarkan.
- Solat istikharah.
Akhir sekali, setelah kita berusaha dengan pelbagai cara untuk mengenali pasangan, jangan lupa dengan perkara penting ini. Lakukan solat istikharah dan berdoa dalam membuat pilihan. Tapi,anda perlu ingat bahawa jawapan istikharah tidak akan terjawab melalui mimpi semata. Sama ada ianya berbentuk gerak hati kita dan jawapan dari orang sekeliling.
Semoga artikel ini dapat membantu anda dalam menjemput jodoh secara online dan didoakan semoga anda semua mendapat pasangan yang betul-betul ikhlas serta kekal bahagia hingga syurgaNya.
Penulis : Ayunni
