Adakah anda sudah berkahwin?

Adakah anda sedang merancang untuk berkahwin?

Adakah anda pernah berkahwin tapi kini kembali single?

Alhamdulillah, tahniah kerana anda sudah berjaya menghadapi satu fasa istimewa dalam hidup anda. Buat yang sedang merancang, moga dipermudah semuanya.

Buat yang pernah berkahwin tapi single kembali, yakinlah Allah itu Maha Tahu apa yang dirancangnya. Ada sesuatu untuk anda. Mungkin pengalaman perkahwinan lalu membuatkan anda lebih kuat dan matang untuk hubungan baru selepas ini.

Dalam berkahwin mungkin ada banyak ujian dan cabaran. Tapi pasti tetap ada manisnya kan.

Apa – apa pun individu utama dalam perkahwinan itulah yang perlu memainkan peranan yang baik untuk memaniskan perhubungan. Siapa? Sang suami dan sang isteri lah tunjangnya.

Entri kali ini ingin berkongsi kepada anda semua tentang kelebihan berkahwin. Biasanya, orang yang dah kahwin sahajalah yang tahu kerana sudah masuk ke fasa itu kan.

Pertama, dapat melunaskan fitrah sebagai manusia. Kita semua tahu manusia memiliki akal dan nafsu. Dengan berkahwin, manusia dapat menyempurnakan keperluan nafsu pada tempat yang betul dan halal. Selain itu, pasangan kita adalah gudang untuk kita kumpul pahala. Pegang tangan isteri dapat pahala. Peluk isteri dapat pahala. Tengok isteri pun dapat pahala. Apatah lagi kita berkasih-sayang dan bermesra – mesra.

Kedua, kehidupan kita lebih aman dan tenteram. Tujuan perkahwinan sendiri adalah untuk mendapat ketenangan dan mencapai redha Allah. Jika kita berkahwin dan dapat membina keluarga muslim yang baik, insya Allah kita akan dapat suatu suasana yang aman, tenang dan membahagiakan dalam rumah tangga. Baiti jannati, rumahku syurgaku. Habis kerja, tak sabar nak balik rumah jumpa yang tersayang. Di samping itu, segala konflik yang berlaku dapat diselesaikan dengan mudah sebab adanya panduan dari Al – Quran dan agama Islam sendiri.

Ketiga, rezeki yang melimpah ruah. Percayalah selepas berkahwin ada rezeki besar daripada Yang Maha Esa. Antaranya, pekerjaan yang lebih stabil, naik pangkat, naik gaji, kadang – kadang gaji kecil tapi cukup untuk sara keluarga disebabkan keberkatan. Selain itu, rezeki isteri yang memahami, zuriat yang comel dan mudah diuruskan, anak jarang sakit, kenderaan jarang bermasalah dan macam – macam lagi. Kadang – kadang kita memang tak perasan semua itu kerana kita nampak rezeki dari sudut wang ringgit sahaja. Sedangkan rezeki Allah itu pelbagai.

Keempat, kita menjadi lebih matang dan kuat. Selepas berkahwin, ramai orang akan menjadi lebih matang dan kuat kerana tekanan yang diterima. Antara tekanan yang ada adalah tekanan di tempat kerja, tekanan dalam menguruskan rumah tangga dan perancangan masa depan. Tekanan yang ada ini mungkin menjadikan seseorang individu itu sedikit goyah tapi harus kuat, pandang jauh ke hadapan dan sedar apa yang dilakukan hari ini adalah untuk keluarga yang dibina. Perasaan untuk membahagiakan, memberikan yang terbaik dan menaik taraf hidup keluarga lebih penting dari diri sendiri. Contohnya, stres di tempat kerja. Nak berhenti, risau tak dapat kerja lain. Kalau dapat mungkin jauh dari keluarga.

Sangat berbeza kan dengan orang bujang yang mungkin tak kisah untuk berpindah-randah atau bertukar kerja bila-bila masa?

Akhir sekali yang kelima, berkahwin dapat membantu untuk kita menjadi insan yang lebih baik. Macam mana tu? Selepas berkahwin, syurga isteri adalah pada suami. Selagi mana suami itu mendidik ke arah kebaikan, selagi itu isteri perlu taat. Jika suami goyah dan salah arah, isteri bantu untuk menarik ke arah yang betul. Setiap hari pasangan boleh saling memotivasikan diri. Di rumah, isteri atau suami perlu saling mengingatkan dengan solat, solat berjemaah, mengaji al-quran dan menghadiri majlis ilmu. Jika dapat dilakukan bersama, pasti lebih sweet.

Begitulah kelebihan berkahwin untuk entri kali ini. Banyak lagi sebenarnya, tapi cukup untuk fahami 5 kelebihan ini dahulu.

Buat yang bujang, jom cari jodoh dan merancang untuk berkahwin! Moga dipermudahkan.

Penulis : Saiful