Suatu hari nanti, anda mungkin akan bertemu seseorang yang paling sesuai untuk dijadikan pasangan hidup. Saling menyukai, saling melengkapi dan keluarga juga tidak memberi tentangan. Mungkin itu antara tanda dia adalah jodoh anda. Bersyukurlah!

Tapi kali ini ingin dikongsikan kepada anda beberapa perkara yang anda perlu lebih bersedia ketika jodoh sudah tiba.

Pertama, bersedia untuk menjadi hak milik seseorang.

Berkahwin adalah penyatuan dua jiwa, fizikal dan mental. Anda perlu lebih bersedia untuk menjadi hak milik ‘orang lain’. Berpindah dari mak ayah kepada individu yang mungkin baru kurang setahun dikenali.

Memang ia satu risiko, tapi yakin dan berserah kepada Allah swt yang Maha Mengetahui masa hadapan kita.

Kedua, bersedia untuk hidup berkongsi serba – serbi.

Anda perlu bersedia untuk berkongsi hampir semua perkara dalam hidup anda. Antaranya, rumah, ruang tamu, TV, bilik tidur, dapur, tandas, kenderaan termasuklah gajet-gajet anda. Ada pasangan yang tidak kisah jika telefon bimbit di privasikan. Namun ada juga pasangan yang mahu tahu segala gerak-geri anda, dengan siapa anda berhubung dan ber’chatting’. Ya, kadang-kadang memang sangat merimaskan. Tambahan lagi, cerita dari tempat kerja, kawan-kawan dia dan kisah keluarga juga akan turut menjadi satu perkongsian. Jika anda seorang yang mengutamakan privasi sebelum ini, cuba-cubalah untuk terima perubahan ini dengan baik.

Ketiga, bersedia untuk menegur dan ditegur.

Apabila dah duduk serumah, anda akan lebih kenal siapa pasangan anda. Mungkin sebelum ni hanya nampak luaran pasangan sahaja, indah-indah belaka kan. Dah serumah, baru tahu ‘dalaman’ diri pasangan. Mungkin dia seorang yang pembersih ataupun pengotor. Mungkin seorang yang sangat rajin menguruskan rumah ataupun pemalas. Mungkin juga dia selalu moody dan sukar ditegur jika ada yang tak kena. Semuanya akan nampak nanti. Pasangan bukanlah berubah sebenarnya, tapi inilah ‘true colours’ dirinya. Jadi, untuk menjamin kesejahteraan rumah tangga, bersedialah untuk menegur dan ditegur. Berlapang dada dan tundukkan ego. In syaa Allah, kita nak yang terbaik untuk kehidupan berumah tangga nanti.

Keempat, bersedia untuk mempunyai anak.

Allah tidak berjanji pada hambaNYA apabila berkahwin mesti dikurniakan anak. Tapi Allah akan memberikan rezeki yang banyak dan berkat jika rajin berusaha. Apabila anda sudah merancang untuk berkahwin nanti, bermakna anda juga sudah bersedia untuk mempunyai anak. Jika ditakdirkan rezeki awal, tahun pertama perkahwinan sudah ada bayi comel dalam hubungan anda. Satu tanggungjawab baru dan amanah besar untuk anda pikul kelak. Bersedia?

Kelima, bersedia untuk berpisah.

Setiap pertemuan pasti ada perpisahan, itulah pakejnya. Kalau bukan si dia pergi dulu, mungkin kita yang pergi dulu. Hubungan yang dibina mungkin berakhir dengan salah seorang meninggal dunia, mungkin berakhir dengan perceraian dan mungkin juga sebab-sebab lain. Semua itu aturan Allah swt. Jika kekal bersama hingga akhir hayat, mungkin kita akan berjumpa di syurga sana. Jadi bersedialah untuk sebarang kemungkinan yang ada.

Semoga dengan lima persediaan di atas dapat membantu anda serba sedikit dalam membina kehidupan setelah tibanya jodoh.

Good luck!

Penulis : Saiful